Burger Ramly – jenama burger tempatan yang terkenal

Perniagaan Abi Aasim 11-Jul-2020
Burger Ramly © ramly.com.my

Jika sebut sahaja burger di negara ini, pasti kebanyakan daripada kita akan teringat akan Burger Ramly. Jenama Burger Ramly seolah-olah sudah melekat dan terbenam baik dalam pemikiran kita. Burger Ramly ini cukup popular di kalangan rakyat Malaysia. Gerai-gerai burger hampir seluruh Malaysia juga memilih jenama Ramly sebagai produk utama mereka.

Kumpulan Ramly (Ramly Food Processing Sdn .Bhd.) atau popular dengan nama Burger Ramly ialah sebuah perniagaan daging sejuk beku dan burger yang diasaskan oleh Datuk Dr. Ramly Mokni. Jenama Burger Ramly ini sememangnya terkenal di kalangan penggemar burger di negara ini hingga berjaya mengalahkan populariti burger jenama antarabangsa.

Burger Ramly diasaskan pada 1984 dan dimiliki sehingga kini oleh Dato’ Haji Ramly Mokni dan Datin Hajjah Shala Siah Abdul Manap. Penubuhan Burger Ramly adalah bertujuan untuk membekalkan produk yang halal, bersih dan bermutu kepada umat Islam di Malaysia khususnya.

Datuk Dr. Ramly yang merupakan kelahiran Tanjong Piandang, Perak berhijrah ke Sekinchan demi mencari peluang hidup yang lebih cerah. Bermula dengan bekerja sebagai buruh, Datuk Dr. Ramly kemudiannya bekerja sebagai pemotong daging di Kuala Lumpur.

Setelah mendirikan rumahtangga dengan isterinya, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan menghasilkan daging burger sendiri bersama isterinya. Keputusan itu diambil apabila melihat bekalan daging halal yang diproses untuk pasar raya kebanyakannya adalah bukan milik orang Islam dan status halalnya menjadi tanda tanya serta diragui.

Bermula daripada itu, beliau mula mengusahakan pembuatan daging burger di rumah mereka di Flat Jalan Haji Hussein, Kampung Baru. Perniagaan beliau dimulakan dengan modal RM2,000 tanpa sebarang mesin atau peralatan untuk membuat daging burger.

Beliau yang menghasilkan kepingan burger sendiri, akhirnya membuka gerai burger dan mula menjual daging burger siap dimasak dan mentah di semua gerai burger yang diusahakannya. Bermula daripada 200 keping daging burger sehari, tempahan semakin meningkat sehingga 2,000 keping sehari.

Kini Datuk Dr. Ramly boleh tersenyum megah dengan bertambahnya pelbagai fasiliti milik syarikatnya dalam menghasil, memproses dan memasarkan pelbagai produk keluaran mereka seperti burger, frankfurter, koktel, nugget, ayam, makanan laut, daging cincang dan lain-lain.

Pada awal tahun ini, beliau juga menyasarkan peningkatan pendapatan sebanyak 20% kepada RM1.2 bilion berbanding RM1 bilion pada 2019. Beliau berkata sasaran itu berdasarkan kepada permulaan operasi kemudahan barunya di Selangor Halal Hub, Pulau Indah, Selangor.

Selain Malaysia, kini Burger Ramly juga turut mula diedarkan di negara jiran, Singapura dan turut mendapat sambutan yang menggalakkan. Dari sebuah perniagaan yang dimulakan di rumah, kini ianya telah berkembang pesat ke seluruh negara. Ingat burger, ingat Burger Ramly.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!