Cabaran amukan si comel

Kehidupan Hanita Hassan 06-Jul-2020
Cabaran tantrum si kecil © Odua | Dreamstime.com

Apabila seseorang anak comel buat perangai semacam amukan (tantrum), itu ialah perasaan yang dilantunkan kerana mahukan perhatian.  Biasanya si kecil akan menjerit, meraung atau mengguling-gulingkan badannya kerana tidak mendapat apa yang diminta. Tidak kurang juga yang mengamuk kerana berasa rimas dengan persekitarannya.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, amukan atau tantrum ini adalah sesuatu yang normal terutama kepada kanak-kanak berusia di antara 18 hingga 48 bulan.  Dalam usia ini, si kecil tidak punya kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka. Tantrum adalah cara yang paling sesuai pada mereka.

Si kecil boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang, berkelakuan ganas dan kadangkala menahan nafas mereka. Mereka mahu bebas dan meneroka persekitarannya. Sebaliknya sikap ibu bapa atau guru yang terlalu protektif meletakkan had tertentu demi menjaga keselamatan mereka.

Anak akan berasa kecewa kerana dihalang daripada melakukan sesuatu mengikut kehendak dan kemahuan mereka. Kekecewaan yang terbuku dalam dada itulah yang kemudian dikeluarkan  sama ada dalam bentuk menangis, memukul atau menjerit.

Kejadian ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, di rumah termasuklah di tempat awam.  Sekiranya di rumah, tinggalkan anak di biliknya sehingga dia kembali tenang.  Apabila anak kembali tenang, anda bolehlah berbincang tentang kelakuannya.

Sekiranya berlaku di tempat awam, bawalah anak ke tempat yang lebih tertutup, sama ada di dalam kereta atau di tempat duduk bayi.  Jangan sesekali menghukum si kecil dengan menjerit atau memukul mereka.  Atau memberikan sahaja mengikut kehendak anak.

Dalam jangka masa pendek, anak akan berhenti membuat perangai.  Namun dalam jangka masa panjang si kecil akan memanipulasi keadaan.  Sudah tentu anda tidak mahu sikap tidak baik ini  berterusan sehingga si kecil mencapai usia dewasa.

Tidak perlu panik.  Apa yang penting anda perlu mencari punca kenapa si kecil mengamuk. Sama ada ia tertekan tidak dapat apa yang diinginkan  atau mungkin juga disebabkan lapar, haus dan tidak selesa dengan persekitarannya. Cari puncanya.

Jangan hukum si kecil atau memberikan ganjaran.  Asingkan anak dan jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi cara anda melakukan tindak balas kepada tantrum itu. Jauhkan anak daripada suasana yang boleh membuatkan anak tertekan.

Bawa anak ke tempat yang boleh menenangkan.  Minimumkan rangsangan deria. Senyapkan keadaan, kurangkan cahaya dan nyamankan suhu persekitaran (sekiranya panas). Berikan masa kepada anak untuk mencapai semula keadaan tenang secara semula jadi.

Sesungguhnya anak adalah amanah Allah SWT yang sangat berharga.  Sekiranya anda melihat anak sebagai amanah, sudah tentu ada hak-hak anak yang wajib anda tunaikan.

Justeru, ajarilah anak  tentang ilmu Islam sejak di usia kecil lagi. Berilah kefahaman kepada anak tentang peranan dan tugas mereka sebagai hamba Allah SWT yang soleh dan bertakwa.  Insya-Allah, siapa yang mempunyai anak-anak yang soleh, maka hidupnya akan terjamin di dunia mahupun di akhirat.

Ibnu Umar pernah menasihati seseorang: “Didiklah anakmu kerana engkau nanti akan ditanya: Apa yang telah engkau didik dan ajarkan kepada anak-anakmu?  Anak-anakmu pula akan ditanyakan tentang bakti dan taatnya kepadamu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)