Cabaran berkeluarga besar

Masyarakat Hanita Hassan 02-Okt-2020
dreamstime_s_24517694
Cabaran berkeluarga besar © Zurijeta | Dreamstime.com

Setiap pasangan yang berkahwin sudah tentu impikan memiliki zuriat. Ada yang mahukan anak yang ramai sehingga boleh membentuk sebuah pasukan bola sepak.  Tidak kurang juga yang bersyukur dengan seorang atau dua orang anak sahaja.

Hakikatnya kehadiran anak ramai adalah rahmat kerana tidak semua wanita dapat melahirkan anak yang sempurna akhlak, fizikal dan mentalnya.  Anak yang ramai juga   diharapkan boleh membantu di usia tua dengan doa-doa mereka.

Cabaran berkeluarga besar

Sebelum  mempunyai anak, kita adalah anak kepada ibu bapa kita. Bagaimana ibu dan bapa membesarkan kita adik-beradik, begitulah juga kita akan membesarkan anak. Kalau dahulu, anak ramai menjadi kebanggaan.

Berbeza hari ini, ia menjadi cemuhan seolah-olah suatu kesalahan besar. Malahan setiap wanita yang baharu bersalin diberikan bimbingan tentang perancangan keluarga supaya merancang jarak kelahiran.

Cabaran terbesar hidup di bandar adalah kos hidup. Ia adalah isu nasional dan antara penyebab ramai pasangan memilih tidak memiliki anak ramai.  Alasan tidak cukup wang, hidup susah, isteri bekerjaya atau tidak boleh mengandung adalah alasan biasa.

Ada berpendapat lebih ramai anak, lebih besar tanggungjawab dan tanggungan.  Kebimbangan ini termasuk dalam menyediakan asuhan, pendidikan dan bayaran perubatan. Benar kita merancang, namun Allah SWT adalah sebaik-baik perancang.

Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.  Apa yang ada di langit dan bumi adalah kepunyaan Allah SWT. Meskipun ramai anak sering dianggap susah dalam cabaran zaman ini, namun percayalah bahawa setiap anak telah ditetapkan rezekinya.

Setiap kelahiran dan ciptaan Allah SWT di muka bumi ini hadir bersama jaminan rezeki supaya manusia tidak bimbang. Bimbang rezeki sering menjadi asbab ramai yang terhalang daripada melakukan kebaikan, tidak bersedekah dan mengeluarkan zakat.

Tidak kurang juga yang takut untuk menamatkan zaman bujang setiap kali memikirkan implikasi selepas berkahwin. Bimbang pendapatan sedia ada tidak cukup menampung kehidupan baharu.

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya ramai anak

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan).”

(Surah Hud, ayat 6)

Bagi anda yang memiliki keluarga besar, bersyukurlah.  Terdapat pasangan di luar sana yang dikurniakan dengan anak perempuan sahaja. Juga yang dikurniakan dengan anak lelaki sahaja.  Atau ada yang diberikan sepasang cahaya mata iaitu anak lelaki dan perempuan. Tidak kurang juga yang tidak diberikan anak dengan sebab kemandulan salah seorang daripada pasangan.

Rasulullah SAW sungguh gembira umatnya mempunyai anak ramai dan menggalakkan kita meramaikan umat. Sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Daud r.a  bahawa Baginda bersabda yang maksudnya:

“Nikahlah wanita yang mencintaimu dan subur. Sesungguhnya aku akan berbangga atas kamu kerana umat yang paling ramai.”

Janganlah bersedih sekiranya anda masih belum dikurnia dengan cahaya mata atau tidak dikurniakan cahaya mata. Tugas anda adalah sentiasa berdoa serta berusaha dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya serahkan sahaja kepada Allah SWT.