Cabaran Lathi – apakah sah di sisi syarak?

Hiburan Abi Aasim 13-Ogo-2020
Contoh cabaran Lathi © instagram.com/anaszahrin

Bulan lepas telah tular di media sosial berkenaan Cabaran Lathi atau ‘Lathi Challenge’ di aplikasi TikTok. Ramai anak-anak muda yang menyahut Lathi Challenge ini.

Berasaskan daripada  lagu asal Lathi nyanyian Weird Genius, mereka yang menyahut Lathi Challenge ini tampil dengan menata rias solekan di wajah sambil menari  dan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) mengikut alunan lagu, lalu wajah bertukar dan pakaian pelaku bertukar secara tiba-tiba menyerupai mahkluk yang menakutkan.

Video-video Lathi Challenge yang tular ini telah mendapat perhatian daripada Mufti Wilayah Persekutuan. Ini kerana melalui Lathi challenge ini terdapat unsur-unsur yang boleh memesongkan akidah pelaku yang beragama Islam. Bagaimanakah Lathi Challenge ini boleh memesongkan akidah kita sebagai umat Islam? Persoalan-persoalan ini telah dijawab dan dikupas oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Asal Lathi Challenge

Mula dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, yang kemudiannya telah  tular di media sosial. Lathi diambil daripada bahasa Jawa kuno yang membawa maksud lidah. Lathi adalah  judul bagi sebuah lagu hasil nyanyian duet  Weird Genius bersama Sara Fajira. Di dalam video muzik rasmi lagu ini, terdapat tarian yang berunsur ritual mistik malah   terselit bait-bait yang mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus di dalam liriknya.

Hukum Melakukan Lathi Challenge 

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, melakukan Lathi Challenge adalah haram hukumnya dan berdosa. Ini kerana ia mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran.

Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang melakukan sunnah yang baik, lalu diikuti amalan tersebut, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada pahala mereka sedikitpun. Barangsiapa yang melakukan perkara yang buruk, lalu diikuti amalan tersebut, maka baginya dosa dan dosa orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada dosa mereka sedikitpun.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada penjelasan di atas, kita sebagai umat Islam perlulah menjauhkan diri daripada  perbuatan – perbuatan yang boleh memesongkan akidah kita sebagai umat Islam.

Tidak salah untuk melakukan sesuatu yang menyeronokkan dan sedang tular. Namun sebagai seorang Muslim, biarlah apa yang dilakukan itu berasaskan syariat yang telah ditetapkan Islam. Turut serta melakukan sesuatu cabaran di media sosial itu tidak salah, namun biarlah bermanfaat.