Calon Temuduga Pekerja Hotel Perlu Berpakaian Mengikut Tema ‘Gatsby’

Baru-baru ini Hotel Monopoly Mansion by Sirocco, Kuala Lumpur telah mengadakan sesi temuduga untuk mencari kakitangan baru untuk hotel mereka. Apa yang menarik perhatian adalah calon-calon yang hadir untuk sesi temuduga perlu hadir dengan memakai pakaian yang mengikut tema ‘Gatsby’ iaitu gaya barat pada tahun 1920an.

Biarpun menetapkan syarat yang agak ‘rare’ untuk calon temuduga, namun calon-calon yang hadir pada hari itu nyata mengikut seperti yang dikehendaki oleh pihak hotel.  Rata-rata mereka hadir lengkap bergaya persis pelakon filem The Great Gatsby yang dilakonkan oleh aktor terkenal Leonardo Dicaprio.

Demi memenuhi tema yang ditetapkan oleh pihak hotel, ada calon temuduga yang sanggup meminjam baju dan aksesori seperti tongkat dan topi daripada bapa dan rakan sendiri untuk kelihatan seperti individu dari era 1920an.

Salah seorang daripada calon yang hadir iaitu Megat Iskandar Shah Megat Shahrul Anuar, 22, berkata, bukan satu masalah untuknya hadir mengikut tema kerana sudah mempunyai koleksi pakaian formal di dalam simpanan dan hanya mengikut kesesuaian tema.

Saya sudah biasa berpakaian formal antaranya ketika menghadiri majlis makan malam cuma bezanya kali ini saya perlu bergaya ala ‘Gatsby’ untuk ke sesi temuduga kerja.

“Satu konsep temuduga yang lain daripada lain tetapi saya selesa dan tiada masalah kerana tidak perlu membeli pakaian berkenaan memandangkan ia sudah sedia ada di rumah,” ujarnya.

Temuduga itu menawarkan jawatan pegawai jualan dan pemasaran, makanan dan minuman (F&B), kejuruteraan, sumber manusia, kawalan dan keselamatan, kewangan, eksekutif pejabat dan bidang perkemasan (housekeeping).

Bagi yang ingin hadir ke sesi temuduga istimewa ini, anda boleh hadir untuk sesi temuduga yang kedua bermula dari 19 sehingga 23 Ogos 2019. Ingat jangan lupa untuk memakai pakaian yang mengikut tema ya! Mana tahu ada rezeki anda untuk menjadi salah seorang kakitangan Hotel Monopoly Mansion by Sirocco.