Cameron Highlands percutian tanah tinggi

Melancong 18 Apr 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Cameron Highlands percutian tanah tinggi
Cameron Highlands percutian tanah tinggi © Ravindran John Smith | Dreamstime.com

Cameron Highlands adalah antara tempat percutian tanah tinggi popular dan menjadi tumpuan pengunjung dalam mahupun luar negara.  Dengan ketinggian 1,829 meter dari aras laut dan bersuhu antara 10 hingga 20 darjah celcius, ia merupakan destinasi pilihan pelancong domestik mahupun luar negara.

Tanah tinggi Cameron Highlands

Tanah tinggi ini telah diteroka oleh Sir William Cameron, juruukur British pada tahun 1885 ketika beliau membuat pemetaan persempadanan Pahang-Perak.  Selepas 40 tahun ia ditemui, hanya pada tahun 1920-an, baharulah kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai Cameron Highlands ini dibangunkan.

Sehingga kini ia masih menjadi pusat percutian popular kerana suhunya yang sejuk. Kadar kelembapan di Cameron Highlands sangat tinggi dan mengalami musim lembap bermula Oktober hingga November. Catatan terendah bacaan suhu adalah pada kadar 7.8 darjah celcius.

Bandar utama di Cameron Highlands adalah Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang. Lima penempatan utama ialah Lembah Bertam, Ladang Kea, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja. Kesemua kawasan ini dihubungkan dengan jalan sepanjang 34 kilometer dari Ringlet ke Kampung Raja.

Cameron Highlands kawasan pendakian

Bagi pencinta alam, Cameron Highlands adalah kawasan yang boleh dijadikan kawasan untuk pendakian. Terdapat lapan buah gunung di Cameron Highlands iaitu Gunung Batu Brinchang (2,031 meter), Gunung Berembun (1,840 meter),  Gunung Irau (2,091 meter) yang merupakan puncak tertinggi di kawasan Cameron Hinghlands.

Gunung Jasar (1,696 meter), Gunung Mentigi (1,563 meter), Gunung Perdah (1,576 meter) dan Gunung Siku (1,916 meter).  Gunung Swettenham (1,961 meter) terletak di atas sempadan negeri Kelantan.

Manakala di puncak Gunung Batu Brinchang pula terdapat sebuah stesen radio dan televisyen dan stesen pemerhatian setinggi 15 meter.  Anda juga boleh meneroka hutan istimewa yang dipenuhi lumut. Ia terkenal dengan nama Mossy Forest berdekatan dengan gunung ini.

Sekiranya anda mengikut laluan Tapah, Perak, di pertengahan jalan sebelum sampai ke Cameron Highlands, anda boleh melencong ke Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah. Mengikut cerita dahulu kolam air di sini panas sampai berasap tetapi kini hanya suam-suam kuku. Walau bagaimanapun jika dipijak pasir di dasarnya ada bahagian yang sangat panas.

Air Terjun Lata Iskandar

Anda boleh singgah sebentar menghirup udara segar dan menikmati pemandangan indah di air terjun Lata Iskandar iaitu 25 kilometer sebelum sampai ke Pekan Ringlet. Ia sesuai untuk sesi foto bersama ahli rombongan.

Lawatan di Cameron Highlands tidak akan sempurna sekiranya anda tidak melawat salah satu daripada dua ladang teh terbesar di sini iaitu Ladang Teh Boh dan Ladang Teh Bharat.

Sudah singgah, jangan lupa bergambar berlatarkan ladang yang luas dan menghijau, cuaca dingin serta seni bina unik dan moden. Bawalah pulang buah tangan iaitu teh uncang pelbagai perisa untuk rakan taulan.

Antara tempat lain yang mesti dikunjungi ialah Taman Lavender, Avant Chocolate, Green View Garden yang mempunyai lanskap berwarna-warni sesuai dengan namanya.

Seterusnya, Taman Agroteknologi MARDI, Taman Agro Tourism yang menempatkan produk berasaskan strawberi, Time Tunnel Museum, 3D Wall Art Studio, Nasi lemak sambal strawberi @ 200 Seeds Cafe, Cactus Valley Farm dan banyak lagi.

Sambil bercuti, jangan lupa mencari tempat solat berhampiran. Semoga percutian memberi kelapangan minda untuk melihat kebesaran Yang Maha Esa.