Cara bertenang dan relaks yang berkesan  

Sukan Hafiz Firdaus 19-Mei-2020
Aktiviti silat menenangkan minda © Mohamad Ridzuan Abdul Rashid | Dreamstime.com

Secara am, masyarakat umumnya tidak bekerja keras secara maksimum di pejabat. Namun, ada kalanya bagi yang agak malas, mereka pula kadang-kadang bekerja bersungguh-sungguh dan untuk jangka masa yang lama. Banyak orang, banyak ragam.

Apabila pulang dari pejabat, kebanyakan orang tidak tahu apa ertinya rehat yang sebenar. Setelah seharian bekerja, lama memandu kereta, dan bila tiba di rumah, terus mengunyah barang apa yang ada sambil menonton tv di sofa. Tidur sekitar jam 12 pagi.

Rutin yang serupa diikuti setiap hari, mungkin kadang-kadang makan di luar berjumpa kawan-kawan. Memang kadang-kadang disebabkan rutin yang serupa, terasa tidak cukup masa atau tiada motivasi untuk melakukan perkara lain. Asyik-asyik menghadap siri tv atau menatal dinding Facebook, kemudian mengintip di Instagram. Ini contoh sahaja.

Kita harus sedar bahawa aktiviti sebegini mendorong kepada rehat yang tidak mencukupi pada waktu malam. Oleh itu, kurang tenaga untuk hari berikutnya. Esoknya ketika di pejabat atau memandu kereta, selalunya masa habis di kerusi pejabat atau tempat duduk kereta anda.

Oleh yang demikian, adalah sangat mustahak bagi seseorang untuk melakukan aktiviti fizikal bagi mengimbangi kekurangan pergerakan harian. Sebagai contoh, penyakit insomnia sering disebabkan oleh kurang bersukan, apabila badan tidak merasa letih tetapi minda perlu direhatkan setelah seharian ia berfungsi.

Di sini, aktiviti solo yang mudah dan sesuai dibuat adalah bersilat atau senaman yoga. Masa yang diperlukan mungkin kurang dari satu jam dan dilakukan di rumah setelah habis waktu pejabat. Aktiviti-aktiviti ini adalah bagus untuk badan dan minda. Anda boleh saja mengikuti kelas-kelas sebegini tetapi ia masih boleh dilakukan secara individu, contohnya dengan menggunakan sumber video dalam talian.

Rehat yang baik sebelum tidur datangnya dari perubahan aktiviti yang baik. Silat dan yoga secara serentak menolong meregangkan otot-otot tegang, dan menenangkan pemikiran melalui gerakan atau jurus yang memerlukan penumpuan, dan ini dapat memadamkan keadaan minda sebelumnya.

Melakukan rutin harian seperti ini tanpa disedari boleh membantu dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menerusi hadis sahih diceritakan oleh Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya ada di antara kamu yang merasa mengantuk ketika bersolat, dia harus pergi tidur (tidur) sehingga tidurnya habis kerana jika solat ketika mengantuk, seseorang tidak tahu sama ada dia memohon pengampunan atau memohon perkara buruk bagi dirinya sendiri. ” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Jadi, sebaik sahaja anda benar-benar sudah rasa tenang selepas meregangkan otot dan menumpu minda, insya-Allah anda akan mendapat motivasi untuk menunaikan ibadah dengan lebih khusyuk, dan apa yang anda pohon akan lebih mudah diterima oleh Allah SWT.

Pada hujung minggu, jangan pula anda cenderung untuk bersantai berlebihan atau menghabiskan waktu melihat skrin segala peranti. Alternatif yang bagus ialah beriadah di luar rumah, tidak kira dengan kawan atau keluarga. Berpeluh adalah cara paling mudah untuk mendapatkan aliran darah yang baik di badan dan kulit, seterusnya membersihkan segala toksin dan racun terkumpul melalui peluh.

Sebenarnya terdapat banyak aktiviti sihat bermanfaat sebegini, jadi pilihlah yang sesuai agar kita dapat merehatkan badan dan minda dengan betul. Bila rehat yang sebenar diperolehi, anda akan lebih bertenaga untuk melakukan lebih banyak perkara. Apabila sudah terbiasa dengan corak rehat yang baik, semangat bekerja dan melakukan aktiviti lain akan makin meningkat, menjadikan anda lebih dekat kepada Allah SWT dalam kehidupan seharian.