Cara Mendisiplinkan Diri Untuk Bersolat Pada Awal Waktu

Sahsiah Nor Syariza Tahir 29-Jul-2019

Kita seringkali mendegar ungkapan ‘solat itu tiang agama’.

Ia dirujuk sebagai ‘tiang’ kerana tanpa tiang yang menjadi asas kepada pembinaan sesebuah bangunan atau rumah, sudah pasti bangunan itu akan rebah dan runtuh menyembah bumi.

Jadi, tanpa solat, maka akan runtuhlah iman seseorang Muslim itu dan hancurlah ketaqwaannya kepada Sang Penciptanya.

Disebabkan itu, solat yang merupakan rukun Islam kedua adalah perkara yang wajib dilaksanakan oleh seseorang yang beragama Islam yang memenuhi syarat-syarat wajibnya.

Mungkin ada di antara kita yang dengan mudah mengatakan bahawa dia menunaikan solat sehari lima waktu tanpa gagal.

Namun, ada satu lagi aspek yang sering diabaikan oleh kita dalam melakukan tuntutan tersebut, iaitu solat pada awal waktu.

Rasulullah S.A.W. pernah ditanya oleh sahabatnya berkenaan masa untuk mendirikan solat. Lantas Baginda bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktunya.” – HR Imam At-Tirmizi dan Abu Daud.

 

Disiplinkan Diri Untuk Bersolat Pada Awal Waktu

Tidak dapat dinafikan, dengan kesibukan kerja kita seharian, kita sering alpa sehinggakan hanya mampu menunaikan solat pada hujung waktu, atau lebih malang ada yang terus meninggalkan solatnya.

Justeru, bagaimana caranya untuk kita mendidik diri agar menjadi seorang Muslim yang menjaga solatnya? Bukan sahaja melaksanakan kewajipan tersebut tanpa gagal, malah menunaikan solat pada awal waktu.

Berikut kami senaraikan antara cara yang boleh dilakukan untuk mendisiplinkan diri dalam melakukan solat pada awal waktu.

 

1. Latih diri untuk menghentikan kerja serta-merta apabila telah masuk waktu.

Kadangkala, kita dihimpit oleh kerja yang bertimbun sehinggakan kita tidak mampu untuk berhenti makan sekali pun. Keadaan seperti ini sering membuatkan kita ‘melanggar’ waktu solat dan membiarkan ia berlalu begitu sahaja.

Selepas ini, cuba latih diri untuk menghentikan serta-merta kerja yang sedang dilakukan itu sebaik sahaja telah masuk waktu. Bukannya sukar. Hanya perlu klik “Save” pada paparan komputer, dan ambillah kira-kira 15 minit sahaja daripada masa berharga anda untuk mengadap Allah S.W.T.

 

2. Tetapkan ‘Reminder’ waktu solat.

Guna aplikasi berkaitan waktu solat atau azan pada telefon pintar bagi mengingatkan kita apabila telah masuk waktu. Boleh juga meletakkan ‘Reminder’ pada komputer atau ‘Alarm’ yang akan mengingatka kita jika kita terleka bekerja.

3. Tampal ‘Peringatan’ di hadapan meja kerja.

Cara seterusnya adalah dengan menggunakan sticky note yang ditulis ‘peringatan’ agar kita menunaikan solat pada awal waktu yang dilekat di hadapan ruang kerja di pejabat.

Apabila kita melihat nota tersebut setiap hari dan setiap masa, lama-kelamaan ia akan menjadi seperti satu bentuk motivasi dan sudah pasti kita akan mengikuti kata-kata motivasi tersebut.

 

4. Anggap waktu solat sebagai satu temu janji yang paling penting

Jika anda seorang yang amat mementingkan ketepatan waktu ketika bertemu janji, kenapa anda perlu melambat-lambatkan temu janji dengan Allah S.W.T.? Sedangkan tiada temu janji yang lebih penting daripada temu janji dengan Pencipta kita. Jadi, sentiasalah menepati masa untuk setiap temu janji dengan Allah S.W.T.

 

5. Bersahabat dengan mereka yang tidak melewatkan solat

Apabila kita bersahabat dengan orang yang tidak meninggalkan solat dan sentiasa solat pada awal waktu, kita akan terikut-ikut dengan kebiasaan mereka itu.

Hal yang sebaliknya berlaku jika kita berkawan dengan orang yang sering meninggalkan solat atau melewatkan waktu solat. Kita akan turut sama terikut-ikut sikap tersebut kerana ketika telah masuknya waktu solat, mungkin mereka mengajak kita untuk makan sambil terus leka bersembang.

Seeloknya, carilah kawan yang terus lantas mengajak kita untuk bersolat sebaik sahaja azan berkumandang.

6. Solat berjemaah di masjid

Sebaik sahaja mendengar azan di surau pejabat, apa kata anda menghentikan seketika kerja dan terus menuju ke surau untuk solat berjemaah.

Situasi yang sama jika anda mendengar azan dilaungkan di masjid atau surau berhampiran rumah anda. Segeralah menuju ke masjid untuk solat berjemaah kerana ia akan menjadi suatu kebiasaan.

Dengan itu, kita bukan sahaja dapat mendisiplinkan diri dengan bersolat pada awal waktu, malahan mendapat pahala berganda sebanyak 27 kali kerana solat berjemaah.

Foto: Vjapratama, Pixabay, Rawpixel. com (Pexels)