Cara mewujudkan hubungan baik dengan jiran

Kehidupan Abi Aasim 22-Ogo-2020
Sebuah kawasan kejiranan di Bangi, Selangor © Ellinnur Bakarudin | Dreamstime.com

Negara Malaysia terkenal dengan penduduk yang berbilang kaum dan dapat hidup dalam suasana perpaduan. Sememangnya perpaduan merupakan antara elemen terpenting dalam pembentukan sesebuah negara yang harmoni. Perpaduan ini dapat dimulakan dengan memupuk semangat kejiranan yang utuh dalam sesebuah masyarakat.

Dari segi bahasa individu atau kumpulan individu yang tinggal berhampiran dengan sesebuah rumah adalah ditakrifkan sebagai jiran. Dari segi Islam, jiran terdiri daripada 40 buah rumah yang mengelilingi sesebuah rumah daripada mana-mana arah. Islam juga menyatakan semua bangsa dan agama adalah jiran dan haruslah disantuni dengan baik.

Hubungan yang baik dengan jiran amatlah penting dalam kehidupan. Bagi mereka yang tinggal jauh di perantauan, jiranlah menjadi pengganti keluarga. Merekalah yang menjadi tempat kita mengadu dan meminta pertolongan.

Namun sekarang atas kesibukan kerja, hubungan sesama jiran semakin renggang. Malah ada segelintir golongan yang langsung tidak mengenali jiran sebelah rumah. Marilah kita ubah semula cara hidup dan mula menyantuni jiran tetangga.

Bagi yang sibuk bekerja dan menguruskan kehidupan seharian, cubalah luangkan sedikit masa untuk mengenali jiran tetangga dan menghadiri aktiviti-aktiviti di kawasan perumahan anda apabila ada kelapangan.

Berikut adalah beberapa cara-cara yang boleh dilakukan bagi mewujudkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga:

  • Memperkenalkan diri kepada jiran tetangga – Sewaktu mula berpindah, kenalkanlah diri anda dengan jiran-jiran berdekatan secara ringkas. Lebih baik jika dapat meluangkan masa untuk ke masjid dan surau berdekatan untuk sama-sama kenal mengenal sesama ahli qariah masjid dan surau
  • Bertukar-tukar juadah – Sesekali jika berkesempatan, hadiahkanlah jiran-jiran berdekatan dengan masakan atau juadah yang anda sediakan. Ini sebagai tanda menghargai jiran-jiran kita. Usahlah mengharapkan balasan pula nanti
  • Penuhi jemputan jiran – jika ada jemputan dari jiran untuk menghadiri rumah terbuka atau majlis kenduri, luangkanlah masa untuk menghadirinya
  • Saling bertolak ansur – hidup berjiran perlulah selalu bertolak ansur. Usahlah mencari salah jiran tetangga sahaja. Sebaikna sama-sama berusaha bagi memastikan persekitaran tempat tinggal dan hubungan sesama jiran sentiasa dalam keadaan harmoni
  • Luangkan masa menghadiri aktiviti komuniti – usahlah menjadi seperti kera sumbang. Rajinkan diri jika berkesempatan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti yang dianjurkan komuniti kawasan perumahan anda. Anda boleh sertai aktiviti gotong royong dan jug aktiviti riadah yang dianjurkan
  • Selalu bertegur sapa – Jika terserempak dengan jiran, rajinkan diri untuk menegur mereka. Cukuplah sekadar teguran ringkas dan sentiasa memberikan senyuman buat mereka

Hubungan kejiranan perlu dirapatkan oleh masyarakat Malaysia. Hal ini penting bagi mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Bak kata pepatah muafakat membawa berkat. Berbaik dengan jiran bukan sahaja merupakan satu keperluan dalam masyarakat tetapi juga merupakan tuntutan agama.