Cara tidur Rasulullah SAW

Kehidupan Abi Aasim 15-Jul-2020
Saranan cara tidur yang sesuai © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Pernah tak anda merasa terlampau letih dan mengantuk ketika berada di tempat kerja? Boleh jadi rasa mengantuk dan keletihan yang dialami berpunca daripada tidak cukup tidur. Tidur yang mencukupi dapat memberikan rehat yang sempurna kepada tubuh badan dan  fikiran. Bagi orang dewasa, sekurang-kurangnya perlu mendapatkan waktu tidur selama tujuh hingga lapan jam sehari.

Namun, adakalanya walaupun waktu tidur mencukupi, rasa mengantuk dan keletihan masih lagi muncul. Ini mungkin disebabkan tidur yang kurang berkualiti. Sebagai seorang Muslim, tiada contoh yang lebih baik selain mengikuti cara yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum dan ketika tidur.

Berikut adalah beberapa cara tidur yang dipraktikkan oleh Baginda SAW:

  • Tidur dalam keadaan gelap
  • Tidur dengan mengiring ke kanan
  • Membaca dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah sebelum tidur – Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” (Hadis riwayat Bukhari)
  • Membersihkan tempat tidur sebelum tidur – Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu).” (HR Muslim)
  • Membaca Ayat 3 Qul – Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabbil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (HR Bukhari)
  • Berwuduk sebelum tidur – Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah: Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.” (HR Bukhari)

Percayalah, setiap sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW mendatangkan kebaikan kepada kita sebagai umatnya. Cubalah kita amalkan dari sekarang walaupun hanya mulakan dengan mengikut sunnah Rasulullah sebelum tidur. Semoga kita tergolong dalam golongan yang menghidupkan sunnah Baginda dan diredai oleh Allah SWT.