Cari ketenangan dalam memaafkan seseorang

Saling memaafi, capai ketenangan © Maria Marganingsih | Dreamstime.com

Mengampuni orang-orang yang telah menzalimi kita boleh menjadi sesuatu yang sukar untuk kita lakukan. Namun, kita harus selalu ingat akan apa yang Allah SWT perintahkan dalam Al-Quran, surah An-Noor (24), ayat 22:

“…dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Suruhan ini menerangkan bahawa dengan cara yang sama, kita berharap Allah SWT semestinya akan mengampunkan dosa kita. Oleh itu, maafkanlah orang lain atas kesalahan yang mereka lakukan. Kita tidak perlu begitu terasa dengan perbuatan orang lain sehingga memendam perasaan untuk tidak memaafkannya.

Kita juga perlu berhati-hati untuk tidak menunjukkan secara luaran, bahawa kita telah memaafkan seseorang tetapi masih menyimpan perasaan tidak puas hati kepada mereka. Walaupun kemungkinan perasaan kita dapat disembunyikan, tetapi Yang Maha Mengetahui tahu apa yang kita fikirkan.

Kita juga tidak boleh salah faham bahawa dengan tidak memaafkan seseorang, ianya boleh membawa manfaat kepada kita. Niat kita semestinya adalah untuk menyenangkan Allah SWT semata-mata. Maka,  kita harus memaafkan orang tersebut kerana kita tahu yang akhirnya, Allah sahaja yang berkuasa atas segala sesuatu. Kita hanya percaya dan bergantung kepada-Nya.

Jika kita terus memperlakukan orang lain secara negatif kerana tindak tanduk mereka terhadap kita, tanpa disedari ini sebenarnya hanya akan memudaratkan diri sendiri. Tetapi apabila kita memaafkan seseorang, ingatlah ini kita lakukan untuk menyenangkan dan kerana Allah SWT. Tanpa memikirkan kesengsaraan yang kita alami, mereka bertanggung jawab kepada Allah, bukan kita.

Kita pula bertanggung jawab atas tindakan dan perasaan kita. Jadi kita perlu berhati-hati agar tidak membiarkan tindakan orang lain terhadap kita menyebabkan kita berdosa, kerana tidak memaafkannya. Allah berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Israa (17), ayat 15:

“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga.”

Kita sentiasa diuji melalui manusia. Dalam hidup ini, apabila seseorang melakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati dan perasaan, cepatlah memaafkannya kerana fokus kita adalah untuk menerima pengampunan Allah SWT atas dosa-dosa kita sendiri. Menurut Al-Quran, surah Al-Furqaan (25), ayat 20:

“…dan Kita jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).”

Ingatlah, tumpuan kita bukan untuk memperolehi apa-apa daripada makhluk ciptaan Tuhan. Fahami dengan sebetulnya bahawa Allah SWT yang menguasai segala sesuatu. Oleh itu, semakin kuat tumpuan dan perhatian kepada Allah Maha Suci dan Maha Mulia, akan semakin kurang fikiran kita kepada tindakan orang lain.