Celcom Pamer Teknologi 5G

Suka Nor Syariza Tahir 10-Mei-2019

Bersempena dengan sambutan Hari Teknologi Rangkaian yang berlangsung pada 30 April baru-baru ini, Celcom menawarkan perkhidmatan rangkaian 5G di ibu pejabatnya di Petaling Jaya Sentral yang dinamakan @celcom.

Sebagai komitmennya untuk memacu inovasi 5G di negara ini, syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi itu turut memaparkan sedikit kupasan dan pengenalan mengenai rangkaian masa depan di ‘Hab Inovasi 5G’ @celcom, di mana beberapa aplikasi 5G turut dipamerkan kepada pengunjung dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.

Inovasi-inovasi itu pada masa akan datang dapat memberi manfaat kepada banyak isi rumah dan organisasi serta premis perniagaan.

Pada majlis pelancaran acara tersebut, dua unit handset 5G terbaharu yang dibawa khas dari Shenzen, China, telah digunakan sebagai demonstrasi untuk panggilan suara 5G yang sangat jelas tanpa gangguan selama satu minit.

Selain itu, antara demonstrasi inovasi 5G yang dipamerkan adalah aplikasi pengecaman wajah untuk kawalan akses  putar, yang dihubungkan kepada server pengkalan data menggunakan teknologi 5G.

Aplikasi pengecaman wajah itu menggunakan tindak balas kecerdasan masa sebenar (real-time intelligent) apabila mendaftar beberapa bacaan wajah dalam server.

Kebanyakan demonstrasi inovasi pada acara itu dilakukan menggunakan  5G Fixed Wireless Access (FWA) seperti Virtual Reality, aplikasi pengecaman wajah 5G serta feed video live 360 darjah.

Turut mengambil bahagian adalah gerai-gerai yang menawarkan maklumat, demonstrasi dan pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pasukan Rangkaian Celcom bagi memberi pemahaman mendalam kepada para pekerjanya mengenai teknologi dan penyelesaian di sebalik 5G.

Foto: Celcom