Celepets Melancarkan Program Mentor ‘Power To Empower’

Daripada sebuah acara lepak dan group di Blackberry Messenger, Celepets, yang terdiri daripada tujuh selebriti popular iaitu Aishah Sinclair, Atilia Haron, Daphne Iking, Dynas Mokhtar, Sazzy Falak, Serena C dan Yasmin Hani sudah bersahabat lebih kurang 10 tahun dan kini meraikan persahabatan mereka dan bulan Ramadan yang mulia dengan ‘Malam Amal & Iftar bersama Celepets.’

Tahun ini, mereka meraikan 40 keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal dan anak-anak masing-masing di bawah payung Kindness Malaysia. Turut menyertai mereka adalah 56 anak-anak yatim dari Pertubuhan Nur Kasih Bestari. Majlis amal dan iftar ini diadakan di Whitebox Publika, dengan hasil kerjasama UEM Sunrise Berhad, restoran dan kafe gaya hidup Feebay.Co dan hub fesyen Style Annexe.

Celepets turut melancarkan program ‘The Power to Empower: Celepets Mentorship Programme to Empower Single Mothers to Achieve Financial Freedom!’ iaitu sebuah program mentor keusahawanan khusus yang disediakan kepada golongan wanita yang kurang berkemampuan.

Program mentor ini dipercayai mampu mencungkil bakat keusahawanan setiap wanita yang mengambil bahagian dan dari situ proses pemilihan kemahiran serta khidmat nasihat akan diberikan oleh mentor yang terpilih.

Program ini akan berjalan selama tiga bulan dan memberi penekanan kepada kemahiran sedia ada pada setiap ibu tunggal. Seramai 10 orang ibu tunggal akan dipilih dan selepas kemahiran mereka dikenalpasti, Celepets dan Mompreneur Asia akan menyuai padankan mereka dengan mentor yang bersesuaian.

Untuk memulakan program mentor ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan hadir dan menaja program latihan sehari di bawah Program eUsahawan yang menggalakkan para usahawan menceburi bidang perniagaan digital dan meraih pendapatan menerusi platform digital.

Ibu tunggal terpilih ini telah mendaftar di bawah Kindness Malaysia dan mereka datang dari PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin.)

“Mereka mempunyai kemahiran seperti membuat roti atau menjahit. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mengembangkan kemahiran mereka itu menjadi sumber pendapatan dan perniagaan yang lumayan,” kata Niniey Chong, pengasas Mompreneur Asia.

Diharapkan program ini dapat memberikan kelebihan kepada ibu tunggal buat jangkamasa yang panjang.

Tahniah dan selamat maju jaya SalamToday ucapkan kepada Celepets dan ibu-ibu tunggal yang berjaya menyertai program ‘The Power to Empower: Celepets Mentorship Programme to Empower Single Mothers to Achieve Financial Freedom!’ ini.

 

Foto oleh Saufi Nadzri