Cendol dan minuman berasaskan ais yang lain

Selera Chan Abdullah 10-Sep-2020
dreamstime_s_130739051
Ais Cendol Durian © Craig Ansibin | Dreamstime.com

Malaysia memang terkenal dengan keunikan warisan budaya berbilang bangsa. Salah satu keunikan warisan yang dikongsi dan dirai semua masyarakat di Malaysia ialah makanan dan minuman. Antara minuman-minuman ini ada yang berasaskan dari ais,  memang sesuai sebagai pencuci mulut untuk negara Malaysia yang mempunyai cuaca yang agak panas.

Berikut merupakan beberapa minuman popular berasaskan ais di Malaysia:

Ais Batu Campur (ABC) / Ais Kacang

Ais batu campur atau ais kacang ini merupakan sejenis hidangan berasaskan ais. Ais ini dikisar menggunakan mesin. Ais ini dibentuk menjadi tinggi di dalam mangkuk dan dihidangkan bersama kacang merah, buah kabung, laici, jagung, cendol hijau. Ais ini kemudiannya dituang gula Melaka dan sirap untuk menambahkan kemanisan. Ada juga sesetengah hidangan ABC ini turut dihidangkan bersama susu pekat.

Kini hidangan ABC ini telah semakin moden dan pelbagai hidangan sampingan turut ditambah ke dalam ABC. Ada yang menyajikan ABC dengan buah dan jeli. Manakala perisa dan warna ABC kini juga turut mempunyai pelbagai variasi serta turut dihidangkan dengan ais krim.

Ais Kepal

Ais kepal juga merupakan salah satu lagi makanan berasaskan ais yang popular. Ais yang dikisar atau dimesin kemudiannya dikepal dan dibentuk bulat seperti bola. Ais itu kemudiannya dituang sirap berperisa. Ais kepal ini boleh dimakan dengan sudu atau dengan tangan sahaja.

Ais kepal kini kembali mendapat permintaan yang menggalakkan dengan kemunculan ais kepal perasa coklat menggunakan produk jenama Milo. Malah minuman ais kepal Milo ini sudah tersebar sehingga ke negara Indonesia.

Ais Cendol

Cendol merupakan antara minuman kegemaran rakyat Malaysia untuk menghilangkan dahaga pada hari yang panas. Pada asalnya, minuman cendol ini juga berasaskan ais namun sekarang sudah ada variasi sebagai air.

Minuman cendol ini juga dihasilkan melalui ais yang dikisar atau dimesin dan kemudian dihidangkan bersama gula Melaka dan cendol hijau (sejenis jeli dengan pewarna dan perasa pandan). MInuman cendol ini juga sekarang sudah memiliki pelbagai variasi. Minuman cendol kini boleh didapati dengan variasi cendol pulut, kacang merah, jagung dan juga durian.

Kelazatan pemanis mulut ini menyebabkan ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasai keenakan minuman ini. Sebagai rakyat Malaysia, sudah pastinya anda juga sudah pernah merasai keenakan ketiga-tiga minuman berasaskan ais ini, bukan?