‘Cinta’ Baharu Ismail Izzani

Selepas lagu ‘Bidadari’, Ismail Izzani kini kembali dengan single terbaharunya yang berjudul ‘Cinta’.

Merupakan ciptaan sepenuhnya hasil kolaborasi antara Mas Dewangga dan Ismail Izzani sendiri, lagu bergenre pop elektro ini turut mendapat sentuhan daripada Audi Mok.

‘Cinta’ berkisarkan tentang perasaan suka seorang lelaki terhadap seorang perempuan yang telah lama disimpan secara rahsia.

Lagu tersebut dilancarkan bersama dengan video muziknya dalam satu majlis yang diadakan di Cheras baru-baru ini.

Bagi video muzik tersebut, World Peace Entertainment masih mengekalkan identiti Ismail Izzani untuk melakukan tarian sepenuhnya seperti dalam video muzik ‘Luar Biasa’, ‘Bidadari’ dan ‘Save Me’.

Video muzik ‘Cinta’ turut menampilkan penari cilik, Armani Kowachee serta kameo oleh Naim Daniel, Harris Baba dan Daniesh Suffian.

Ia dirakamkan di dua lokasi berbeza iaitu Hoops Station Basketball Arena, USJ dan Stadium Shah Alam.

Lagu ‘Cinta’ terbitan World Peace Entertainment boleh didapati dan dimuat turun di semua platform streaming seperti Spotify, Apple Music dan JOOX.

Manakala video muziknya kini boleh ditonton di YouTube; Channel World Peace Entertainment.

Foto: YouTube