Cinta di rumah kita

Cheerful muslim family playing on swing
Didik, bina dan usaha untuk anak-anak © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Masihkah anda ingat saat awal virus COVID-19 mula dikesan? Ya, bermula sejak akhir tahun 2019 dan hingga kini sudah lebih enam bulan pandemik ini menyerang kita semua. Jika ada dalam kalangan anda sekeluarga yang diuji dengan penyakit ini, sabarlah kerana Allah SWT tidak akan sesekali membebani kita dengan sebarang ujian yang tidak mampu kita sekeluarga lalui.

Jika anda sekeluarga masih sihat dan tidak dijangkiti dengan penyakit ini, panjatlah kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat ini kerana sebagaimana yang kita tahu telah ramai manusia yang diuji dengan COVID-19 dan telahpun meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Kita sekeluarga sangat wajar untuk terus bersyukur, bukan hanya kerana anda yang membaca tulisan ini masih sihat atau sekurang-kurangnya masih hidup hingga saat ini, tetapi kerana sepanjang beberapa bulan yang lepas, Allah SWT telah mengurniakan kita semua dengan tempoh cuti keluarga yang sangat panjang untuk kita sekeluarga berada di rumah, bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Kita semua sangat bertuah kerana situasi istimewa sebegini di mana kita semua diarahkan bercuti dengan keluarga di rumah. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kehidupan manusia sejak hampir 100 tahun yang lalu.

Sewajarnya kita mampu untuk memahami bahawa ini juga sebahagian daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT yang memberikan kita tambahan masa yang sangat banyak sejak COVID-19 ini berlaku, untuk bersama dengan suami atau isteri dan anak-anak di rumah.

Maka, sejauh manakah masa yang lama di rumah bersama keluarga telah menjernihkan kembali hubungan antara ahli keluarga, atau mengeratkan lagi tali silaturahim sesama ahli keluarga? Adakah anda dan suami atau isteri semakin utuh cinta murni antara satu sama lain?

Adakah anda dan anak-anak semakin kuat dan erat hubungan kasih-sayang? Adakah anak-anak anda semakin menghargai dan menyayangi antara satu sama lain? Jika jawapan kepada semua soalan ini negatif, atau masih samar, ini bermakna anda masih belum menanam dan menyuburkan benih cinta di rumah.

Ketahuilah masa tambahan bersama keluarga ini sangat istimewa dan berkemungkinan besar hanya berlaku sekali dalam kehidupan kita semua. Maka bagaimanakah jawapan kita bila ditanya kelak oleh Allah SWT, bagaimana kita memanfaatkan masa bersama keluarga ini di Akhirat nanti?

Ayuh, kita masih ada peluang, maka rebutlah dan manfaatkanlah agar kita sekeluarga akan lebih diredai oleh Allah SWT, lalu mencapai kebahagiaan dan kebaikan yang lebih bermakna di dunia mahupun di Akhirat kelak.