Ciptaan kejadian berpasangan oleh Allah SWT

dreamstime_s_25384104
Siang dan malam © Ayed Moeed Al Jedaani | Dreamstime.com

Kebesaran setiap ciptaan Allah SWT di dunia ini tidak terhitung oleh manusia. Namun itulah hakikat yang perlu kita akui sebagai hamba-Nya. Siapakah kita untuk menidakkan ciptaan-Nya.  Ini kerana Allah itu Esa dalam segala segi, pada zat-Nya, sifat-Nya, nama-Nya dan perbuatan-Nya.

Setiap kejadian begitu istimewa untuk dinilai dan mempunyai hikmah yang tersirat. Ciptaan secara berpasang-pasangan antara keajaiban yang boleh kita perhatikan. Bukan sahaja kepada manusia bahkan seluruh makhluk kejadian-Nya.

Pada makhluk kejadian-Nya yang berpasangan dan berlawanan itu adalah bukti kekuasaan dan kebijaksanaan Sang Pencipta yang tidak ada tandingan. Setiap kejadian itu mempunyai hikmah dan rahsia yang besar, malah memberi kestabilan pada sesuatu kejadian tersebut. Mari kita renungkan beberapa pasangan kejadian yang diciptakan Allah SWT.

Langit dan Bumi: Keluasan langit yang demikan rupa dan tiada siapa yang tahu batasnya. Manakala bumi umpama hamparan bahagian bawah dan di atasnya adalah langit.

Fenomena malam dan siang: Perubahan siang ke malam berubah secara perlahan dan berperingkat dan begitulah sebaliknya. Fenomena ini berlaku sekiranya bumi  kita ini bulat. Jika bumi ini rata nescaya pertukaran malam kepada siang, dan siang kepada malam berlaku secara mengejut.

Pasangan lelaki dan perempuan: Betapa besarnya hikmah penciptaan lelaki dan perempuan. Ia memperindahkan hidup manusia dengan memberi ketenangan, ketenteraman dan kemesraan di samping menjamin kelangsungan zuriat manusia.

Tumbuh-tumbuhan: Ilmu pertanian mengungkap pasangan jenis jantan dan betina pada tumbuhan. Hal ini, ada dijelaskan di dalam al-Quran, surah Thaha, ayat 53. Allah SWT berfirman dengan maksud: “Dan Dia telah menurunkan dari langit air, maka Kami keluarkan dengannya berpasang-pasangan dari tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam (warna dan rasa)”.

Perbezaan pada binatang: Manakala haiwan juga hidup berpasangan dengan jantan dan betinanya untuk membiak dan terus hidup. Pasangan jantan dan betina juga dibiakan untuk tujuan penternakkan secara kormersial.

Kuasa Elektrik: Kejadian atom tidak akan stabil jika cas negatif tidak disertakan dengan cas positif. Cas positif dan negatif membolehkan berlakunya arus elektrik. Antara hikmahnya manusia boleh menggunakan lampu dan cahaya dalam urusan harian.

Kejadian bersifat pasangan: Begitu juga yang dirungkai dalam al-Quran mengenai objek dan makhluk berpasangan antara hidup dan mati, sihat dan sakit, perbuatan baik dan buruk, faedah dan kerugian, kesusahan dan kesabaran, musibah dan syukur dan banyak lagi yang di sebut secara berulang-ulang.

Justeru, hidupan dan kejadian yang berpasangan adalah kenikmatan yang tidak ternilai dek akal fikiran. Kita hargailah dan bukan menyalahkan serta mengeluh kesah dengan kurniaan Tuhan Yang Maha Menciptakan.