Citarasa Malaysia di New Zealand ala Restoran Mamak Malaysia Street Food

Jika anda bercadang ke New Zealand, mungkin anda boleh singgah ke Restoran Mamak Malaysia Street Food Takapuna yang terletak di 6 Huron Street, Takapuna, New Zealand.

Restoran yang dimiliki oleh Jeffrey Ng, rakyat Malaysia yang berasal dari Brickfields ini menyediakan masakan Malaysia yang mempunyai sentuhan makanan India dan disajikan dalam gaya makanan penjaja jalanan.

Cuma rasanya tidak sepedas hidangan di Malaysia kerana mahu memenuhi citarasa penduduk New Zealand yang berbeza. Paling penting, hidangan di Restoran Mamak adalah halal dan punya keunikan tersendiri.

“Kami menyajikan ayam dan ikan kami tanpa tulang, kerana kami mendapati ramai pelanggan tidak menyukai tulang dalam makanan mereka. Tanpa tulang, makanan kami lebih senang untuk dinikmati,” ujar Jeffrey yang kini telah menetap di New Zealand.

Mengimbas tentang pembukaan Restoran Mamak ini, Jeffrey memberitahu idea untuk membuka restoran ini tercetus beberapa tahun lalu kerana dia amat menggemari makanan Malaysia dan ingin memperkenalkan citarasa Malaysia kepada rakan-rakan di New Zealand.

Kami ingin memperkenalkan gaya makanan penjaja jalanan Malaysia kepada rakan-rakan di New Zealand dengan harapan mereka dapat mengenali budaya pemakanan Malaysia dan menggemari makanannya juga.”

“Kepakaran kami termasuklah Laksa Sarawak, Nasi Lemak, dan Mi Goreng. Kami juga menyediakan pencuci mulut seperti Roti Tisu, Cendol, dan Teh Ais Cincau. Kami berasa gembira kerana berpeluang memperkenalkan makanan Malaysia di New Zealand dan semestinya berbangga kerana ia diterima baik oleh masyarakat tempatan,” ulas Jeffrey berkongsi cerita.

“Ini merupakan tahun ke-15 saya berada di New Zealand. 14 tahun darinya saya bergiat dalam bidang hospitaliti, berkenaan dengan kafe dan restoran. Kami membuka restoran Mamak di The Chancery pada tahun 2011 dan kemudian menjualnya pada tahun 2015 untuk membuka Mamak di Takapuna.”

“Saya memilih untuk menetap di New Zealand kerana gaya hidupnya yang santai. Suasananya aman dan persekitarannya juga amat sesuai untuk saya dan isteri saya, Charlotte. Selain itu, masyarakat di sini juga peramah dan tidak takut mencuba sesuatu yang baru, termasuklah makanan Malaysia,” tambah Jeffrey lagi.

Berkongsi pengalaman paling manis sepanjang berada di New Zealand, Jeffrey memberitahu dia gemar melawat ladang-ladang penternakan yang berada di kawasan utara New Zealand memandangkan dia menyukai aktiviti perladangan.

“Pengalaman paling manis sepanjang berada di sini adalah berkaitan dengan ladang-ladang yang saya lawati di kawasan utara New Zealand, terutamanya ladang yang dimiliki oleh pasangan suami isteri yang mengembala 30 ekor alpaca.”

“Kami juga pernah berkunjung ke ladang di Agrodome di Ngongotaha, berdekatan dengan Rotorua. Kami amat mengagumi ‘Pertunjukan Ladang’ yang dipersembahkan oleh haiwan-haiwan yang berbakat! Tidak lupa juga dengan ‘Farmyard Nursery’ dan ‘Farm Tour’ yang kami kunjungi, yang amat menarik sekali.”

Bagi saya, pengalaman-pengalaman seperti ini tidak boleh diperolehi di Malaysia dan ia merupakan pengalaman yang cukup berharga dan sukar dilupakan,” ujar Jeffrey.

Berikut adalah lima perkara yang dicadangkan oleh Jeffrey untuk mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki di New Zealand:-

1) Kunjungi Sky Tower untuk menikmati pemandangan 360 darjah bandar Aukland, Pelabuhan Waitemata dan tujuh puncak gunung berapi utama, dan Pulau Rangitoto.

2) Pengembaraan luar biasa di Queenstown – Lakukan lompatan bungy, terjunan udara (sky diving) dan berperahu jet (jet boating). Jangan lupa untuk menikmati pemandangan tasik dan gunung-ganang yang menakjubkan.

3) Ikuti aktiviti water rafting di Waitomo Glowworm Caves.

4) Melawat Rotorua untuk melihat tarikan gunung berapi termasuklah Waimangu Volcanic Valley, Wai-O-Tapu, di mana Lady Knox Geyser meletus tepat jam 10.15 pagi setiap hari dan Hell’s Gate yang sangat aktif.

Pada waktu petang, ambil bahagian dalam aktiviti memasak makanan tradisional Maori iaitu hangi. Anda boleh juga berkunjung ke Polynesian Spa di Rotorua.

5) Melawat set penggambaran filem Lord of The Rings dan The Hobbit di Hobbiton, Matamata.

Kredit foto : Facebook Mamak Malaysia Street Food and William Chen