Cocos Keeling Islands, pulau Melayu muslim di Australia

Dunia Md Wa'iz 01-Nov-2020
dreamstime_s_124009243
Bendera Cocos Keeling Islands © Irina Rumyantseva | Dreamstime.com

Terdapat sebuah kepulauan yang terletak di Australia yang didominasi oleh penduduk Melayu yang majoritinya beragama Islam. Jangan pelik jika anda boleh mendengar laungan azan berkumandang jika anda berkunjung ke Cocos Keeling Islands.

Bagaimana sebuah pulau yang terletak di Australia boleh mempunyai penduduk majoriti Muslim?

Diduduki Melayu Islam

Penduduk asal kepulauan ini adalah golongan pekerja ladang yang dibawa masuk oleh seorang lelaki Scotland bernama John Clunies-Ross pada tahun 1827 hingga 1831. Hampir kesemua pekerja ladang yang dibawa masuk oleh beliau pada ketika itu merupakan orang-orang Melayu yang beragama Islam.

Boleh dikatakan ⅘ daripada penduduk keseluruhan pulau ini adalah orang Melayu, manakala selebihnya adalah mereka yang berketurunan Scotland daripada keluarga John Clunies-Ross sendiri.

Kemasukan kelompok pekerja ladang berbangsa Melayu ini merupakan sebab mengapa pulau ini diduduki oleh majoriti Muslim.

Melayu dari Indonesia dan juga Malaysia

Kebanyakan daripada kumpulan awal pekerja ladang berbangsa Melayu ini dibawa masuk oleh seorang pedagang bernama Alexander Hare pada tahun 1826.

John Clunies-Ross kemudiannya membawa masuk sebahagian besar lagi pekerja yang juga berbangsa Melayu untuk bekerja di ladang kelapa di kepulauan ini.

Kebanyakan daripada pekerja-pekerja ini adalah golongan hamba yang didatangkan dari beberapa lokasi di Indonesia dan juga Malaysia. Ada yang datang dari kawasan Bali, Madura, Timor, Sumatera, Melaka, Pulau Pinang, Jawa dan juga Cerebon.

Bercakap dengan dialek Melayu

Disebabkan persamaan bangsa dan bahasa, hampir keseluruhan penduduk majoriti di kepulauan ini bertutur dalam dialek Melayu.

Perkataan yang digunakan dalam percakapan harian mereka menunjukkan lokasi asal mereka seperti dari kawasan sekitar Indonesia mahupun Malaysia.

Membentuk satu budaya yang unik

Disebabkan kedudukan kepulauan ini yang begitu jauh daripada mana-mana daratan benua, komuniti yang tinggal di sini seolah-olah merupakan satu komuniti yang terasing daripada dunia luar. Oleh kerana itu, mereka telah membentuk satu budaya yang dipegang erat sesama mereka sejak ketibaan mereka ke pulau ini.

Mereka mempunyai pegangan agama yang sama iaitu Islam selain mempunyai semangat kekeluargaan yang kuat antara satu sama lain. Penduduk Melayu Islam di kepulauan ini turut mempunyai masjid mereka sendiri, majlis keramaian tersendiri dan ketua komuniti mereka sendiri.

Pulau Melayu milik Australia

Cocos Keeling Islands ini boleh dikatakan sebagai sebuah pulau Melayu yang dimiliki oleh Australia. Sektor perdagangan telah membentuk satu komuniti Melayu di luar kawasan Nusantara.

Namun, Islam telah berjaya membentuk dan menjaga jati diri kemelayuan mereka. Walaupun mereka mungkin telah terpisah daripada saudara-mara sama ada di Indonesia dan juga Malaysia.