Coklat untuk diet?

Makanan Hanita Hassan 03-Sep-2020
dreamstime_s_141266956
Coklat untuk diet? © Jetsam86 | Dreamstime.com

Coklat adalah makanan yang kaya dengan nutrisi tambahan dan boleh memulihkan tenaga. Amalan memakan coklat adalah baik kerana ia dapat merembeskan hormon endorfin ke dalam otak yang membuatkan kita berasa tenang dan kekal ceria sekali gus mengatasi masalah kemurungan secara semula jadi.

Coklat sering dikatakan sebagai penyebab kepada kegemukan.  Sebenarnya likuor koko mengandungi zat yang dapat menghalang pencernaan dan penyerapan lemak yang menyebabkan kegemukan.  Kegemukan terjadi apabila pengambilan tenaga daripada pemakanan melebihi tenaga yang digunakan.

Pengambilan coklat gelap bagus untuk anda yang sedang berdiet kerana kadar koko yang tinggi dan kurang gula berbanding dua jenis coklat yang lain. Amalan pemakanan coklat juga baik untuk jantung, mengawal tekanan darah dan kencing manis, menghalang jerawat dan parut, mengawal kerosakan sel dan tisu badan, baik untuk kulit dan menguatkan tenaga batin.

Pelbagai jenis coklat boleh diperoleh di pasaran.  Antaranya coklat gelap, coklat susu dan coklat putih.  Coklat gelap tidak mengandungi pepejal susu menyebabkan rasa coklatnya lebih jelas, kering dan lebih pahit.   Coklat susu mengandungi lebih lemak, susu dan gula menjadikannya lebih berkrim, lembut tanpa rasa sebenar coklat.  Manakala coklat putih mengandungi 20% mentega koko, 14% susu pepejal dan tidak lebih 55% gula.

Berdasarkan kajian oleh World Cocoa Foundation, masyarakat di seluruh dunia khususnya di sebelah Eropah dan Amerika menggunakan lebih daripada tiga juta tan biji koko setahun.  Ia menjadi makanan dan manisan kegemaran ramai kerana baik untuk jantung dan otak.

Biji koko yang merupakan asas kepada coklat diperoleh daripada benih buah pokok koko.  Biji benih ini tumbuh di dalam buah seperti pod dan dilitupi dengan pulpa putih berair.  Biji koko ini kemudian dikeluarkan dari pod dan dikeringkan dan dihantar ke kilang di seluruh dunia.

Para pengeluar akan memeriksa dan membersihkannya, memanggang dan mengisar sehingga menjadi cecair padat yang dikenali sebagai likuor (cecair yang diperoleh daripada pengisaran isi koko).  Ia adalah bahan utama dalam pembuatan coklat.  Melalui tekanan, golekan, bercampur maka manisan ini pun terhasil.

Hellodoktor melalui laman sesawangnya menyarankan pengambilan coklat gelap satu bar untuk menurunkan tahap hormon tekanan emosi dan kebimbangan. Ia juga mampu menurunkan kadar kolesterol jahat dan  meningkatkan kadar kolesterol baik sekiranya ia dimakan secara berkala. Oleh kerana kandungan antioksidan flavanol yang tinggi dalam kacang cocoa, coklat gelap memberi manfaat kepada kardiovaskular dan menurunkan tekanan darah.

Coklat pahit yang berwarna hitam antara yang terbaik kerana belum dicampur dengan zat tambahan lain.   Begitu juga dengan coklat putih yang sumber kalorinya kosong dengan standard 1.4 auns bar, 225 kalori dan banyak gula dan lemak tepu.  Ia bebas kafein yang mana sesuai kepada mereka yang sensitif terhadap kafein.

Biasanya bagi pengusaha coklat, menjelang perayaan besar seperti hari raya, ia menjadi pilihan ramai sebagai manisan juadah selain ketupat, tapai pulut, rendang, sate dan sebagainya.  Coklat juga  sering dijadikan  buah tangan apabila menziarahi sanak saudara atau handai taulan.  Selamat menikmati keenakan dan kelazatan coklat.