Cordoba – peninggalan Islam di Sepanyol

Jambatan Roman berlatarkan Masjid Cordoba (sekarang gereja) © La Fabrika Pixel S.l. | Dreamstime.com

Cordoba adalah sebuah kota di dalam wilayah Andalusia di Sepanyol. Pada zaman kegemilangan kota ini dahulu, ia dianggarkan mempunyai 500,000 penduduk. Ketika zaman kegemilangannya di abad ke-10, ia menjadi bandar kedua terbesar selepas Byzantium (kota yang kemudiannya menjadi Constantinople), ibu kota Empayar Byzantine Roman lama.

Panglima perang Khalifah Ummayah, Tariq bin Ziyad telah berjaya menakluki Sepanyol. Melalui penaklukan tersebut, Islam telah berkembang dengan pesatnya di Sepanyol. Pada 766 Masihi, Cordoba telah dipilih sebagai ibu kota emiriah Muslim merdeka di wilayah Andalusia.

Zaman kegemilangan Cordoba adalah sewaktu era pemerintahan  Abdurrahman An Nasir dan puteranya Al-Mustansir, di mana kota ini telah dijadikan ibu kota Sepanyol. Ketika itu, kemudahan-kemudahan pendidikan dibina dengan begitu pesat. Pendidikan juga diberikan secara percuma kepada semua. Pada kurun ke-10 dan ke-11, Cordoba merupakan salah sebuah kota paling maju di dunia selain memiliki pusat kebudayaan, politik, kewangan dan ekonomi yang maju.

Namun kegemilangan Islam di bumi Cordoba akhirnya berakhir akibat perebutan kuasa sesama wilayah Islam di Sepanyol ketika itu. Kejatuhan Cordoba kemudiannya menjadikan Sevilla sebagai ibu kota Sepanyol. Akhirnya sekitar tahun 1236, Cordoba telah jatuh ke tangan pihak Kristian, hasil penaklukan Raja Ferdinand III.

Sayang seribu kali sayang, akibat ketamakan kuasa generasi seterusnya, kota Cordoba hanya menjadi kota sejarah bekas tamadun Islam di Sepanyol. Apa yang tinggal kini hanyalah kesan peninggalan beberapa struktur dari zaman dahulu. Ada juga beberapa peninggalan Islam yang telah pun runtuh dan beralih fungsi.

Antara peninggalan zaman pemerintahan Islam yang masih terdapat di Cordoba ialah:

Masjid Cordoba – Masjid yang terkenal dalam dunia Islam berkurun-kurun lamanya. Semasa kegemilangannya, ia boleh memuatkan seramai lebih 10,000 orang jemaah di dalamnya. Setelah kekalahan Islam, masjid ini telah ditukar fungsi menjadi gereja. Menara masjid ini juga telah dijadikan menara loceng oleh pihak gereja. Masjid Cordoba ini telah digazetkan menjadi tapak warisan dunia oleh pihak UNESCO paada tahun 1984.

Jambatan Roman – Jambatan ini dibina merentasi sungai Guadalquivir. Fungsi asal jambatan ini adalah sebagai laluan komersial dan juga ketenteraan. Jambatan ini juga yang menghubungkan Puerta del Puente, iaitu gerbang utama untuk memasuki kota lama Cordoba, dengan Menara Calahorra.

Kejatuhan kota Cordoba ini seharusnya dijadikan pengajaran oleh masyarakat Muslim. Sikap tidak bersatu, berpecah-belah dan berebut kuasa sesama sendiri akhirnya menjadi punca utama kejatuhan Islam di Cordoba. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!