Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Coronavirus baru dan khabar angin palsu

2019-nCoV
2019-nCoV By CDC/ Alissa Eckert, MS; Dan Higgins, MAM, Public Domain, Link

Berita mengenai penyakit coronavirus Wuhan semakin tersebar ke seluruh dunia. Novel coronavirus (novel maksudnya ‘baru’) yang nama saintifik sementaranya ialah 2019-nCoV telah dimasyhurkan menerusi akhbar, berita televisyen dan pelbagai laman media sosial. Sebagai penyakit pernafasan baru yang tidak pernah dilihat pada manusia, sudah pasti timbul kebimbangan tentang virus baru ini. Kecelaruan ini ditambah lagi apabila banyak berita palsu telah tersebar, terutamanya melalui platform-platform media sosial. Namun begitu, coronavirus Wuhan adalah ancaman yang benar dan nyata.

Pada 30 Januari lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan 2019-nCoV sebagai darurat kesihatan awam antarabangsa. Banyak kes awal (sekitar Disember 2019) coronavirus baru ini dikaitkan dengan pasar borong makanan laut Huanan di Jianghan, Wuhan. Bandar Wuhan yang berpenduduk kira-kira 11 juta orang itu terletak di wilayah Hubei, China. Kes ini bermula dengan 27 orang didapati menghidap pneumonia dengan gejala seperti demam, batuk, sesak nafas dan kesakitan dada. Harus diingati, terdapat kemungkinan punca sumber coronavirus baru ini tidak hanya datang dari satu sumber, ia juga mungkin berasal daripada pelbagai sumber.

Menurut laporan WHO, bilangan kes yang telah disahkan setakat 2 Februari adalah sebanyak 14,557 di seluruh dunia. Jumlah kematian adalah 304 orang di China sahaja dan seorang lelaki yang berasal dari Wuhan telah meninggal dunia di sebuah hospital di Filipina. Wabak coronavirus baru in juga telah disahkan telah merebak ke Malaysia, Singapura, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah juga.

Kebimbangan tentang wabak virus misteri ini mudah difahami kerana sehingga kini, ia masih belum dapat dikawal sepenuhnya. Para doktor dan saintis di seluruh dunia sedang berusaha untuk menyelidik, mengenal pasti dan mengubati para pesakit yang dijangkiti coronavirus baru ini. Oleh kerana bilangan kes dan kematian semakin meningkat, rasa panik masyarakat dunia juga meningkat. Akibatnya, sejumlah besar berita palsu dengan mudahnya ditularkan melalui artikel, video dan konspirasi atas talian yang menyajikan berita serta fakta-fakta yang palsu atau diselewengkan.

Ramai khalayak awam telah membuat spekulasi tentang asal usul wabak ini. Paling sensasi ialah video seorang wanita Cina sedang makan sup kelawar dan kononnya berada di Wuhan. Klip video ini sebenarnya dirakamkan di Palau, sebuah pulau di sebelah barat Lautan Pasifik dan diambil pada tahun 2017. Video ini telah menimbulkan kemarahan meluas di media sosial dengan tuduhan budaya makanan Cina sebagai punca wabak. Sebenarnya, sup kelawar bukanlah sajian yang biasa di makan di Wuhan mahupun di China. Walaupun dapatan terkini ada mengaitkan kelawar dan 2019-nCoV, sup kelawar bukanlah penyebab terciptanya coronavirus baru ini.

Sebuah lagi video yang tular adalah mengenai jururawat dari Wuhan yang dianggap sebagai pemberi maklumat telah dilihat oleh jutaan orang. Jururawat itu bercakap dalam bahasa Mandarin tetapi terdapat versi video dengan sari kata bahasa Inggeris, Korea dan Jepun. Menurut jururawat tersebut, kerajaan negara China telah berbohong mengenai malapetaka coronavirus baru ini, malahan ia lebih mengkhuatirkan daripada apa yang diketahui umum. Wanita di dalam klip video tersebut ternyata bukanlah seorang jururawat atau doktor, dan video itu telah dibuktikan sebagai satu pembohongan dan berita palsu.

Satu lagi khabar angin palsu yang beredar di internet telah menonjolkan coronavirus baru ini sebagai senjata biologi yang digunakan oleh kerajaan China untuk berperang dengan musuhnya. Berita ini dipaparkan dalam the Washington Times, sebuah surat khabar yang mempunyai kecenderungan ideologi tersendiri. Artikel yang menemuramah Dany Shoham, seorang bekas pegawai perisikan tentera Israel sebenarnya tidak menawarkan sebarang bukti. Bekas perisik itu juga mengatakan tiada sebarang bukti sama ada coronavirus baru itu adalah sebahagian daripada program senjata biologi negara China.

Terakhir, terdapat juga berita palsu yang tersebar diselitkan dengan unsur-unsur perkauman dan xenophobia (takut atau benci kepada orang asing) terhadap orang Cina. Dengan tidak semena-mena, semua orang Cina dianggap telah dijangkiti coronavirus Wuhan. Dalam keadaan darurat kesihatan sebegini, kita tidak perlu menambahkan beban tambahan yang sebegini dungu dengan menyalahkan negara lain atau menyalakan sifat perkauman. Ini adalah jenis berita palsu yang dipandang berat dalam kepercayaan seorang Muslim kerana boleh menimbulkan masalah berlainan.

Namun, menerusi citra Islam, sudah pasti banyak hikmah dan pengajaran yang dapat dilihat ekoran daripada perkara ini. Sentiasalah berpegang dengan tradisi Islam kita yang amat menggalakkan etika yang kuat dalam mencari kebenaran, dan ini termasuk berbicara mengenai kebenaran pada setiap masa. Al-Quran menyatakan dalam surah ke 33, Al-Ahzab ayat ke 70, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Mencari kebenaran akan mendorong kita berbuat kebenaran dalam semua aspek kehidupan.

Kita juga harus bersyukur dan berbangga dengan ilmu pengetahuan berkaitan kesihatan dan amalan pemakanan halal dan haram. Juga mengenai pentingnya kebersihan seperti yang disarankan agama Islam bagi mengelak penyakit. Selain itu, dunia Muslim pastinya tidak lupa mengenai isu kerajaan China dan penindasannya terhadap masyarakat Uighur yang dilihat sebagai penghapusan etnik Uighur di Xinjiang. Tidak keterlaluan jika dikatakan, musibah coronavirus ini adalah salah satu daripada petunjuk Tuhan akibat perlakuan tidak berperikemanusiaan itu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.