Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

COVID-19 – Pembuka pintu rezeki para peniaga?

Perniagaan 14 Feb 2021
Pendapat oleh Tari Basir
COVID-19 - Pembuka pintu rezeki para peniaga?
COVID-19 - Pembuka pintu rezeki para peniaga? © Mikhail Primakov | Dreamstime.com

Sekeping duit syilingnya sememangnya ditempa dengan memiliki dua muka, kepala atau ekor. Apabila ia diputar ke udara, hanya satu muka sahaja yang akan terbaring ke tanah, lalu satu muka lagi akan mendongak ke langit.

Namun, apabila ia diputar ke udara sekali lagi, sudah tentu muka yang lain pula akan mendongak dan yang lainnya akan terbaring.

COVID-19 – Pembuka pintu rezeki para peniaga?

Walaupun pandemik COVID-19 terus berputar di udara dan mendongak ke langit, tanpa sekali terbaring ke tanah, namun sesetengah peniaga tetap berusaha mendongak ke langit. Dongaknya satu doa kepada Allah SWT, agar membantu perniagaan dirinya supaya tidak terbaring terjelepok ke tanah.

Pandemik ini sudah tentunya banyak membaringkan beberapa premis perniagaan, tanpa mengira kecil mahupun besar skalanya. Apatah lagi penjarakan sosial yang menahan kaki para pelanggan untuk melangkah menuju ke premis mereka, walaupun dahulunya mereka itu pelanggan yang setia.

Namun, hanya peniaga yang betul-betul kuat azamnya akan menyedari, bahawa di sebalik kepala syiling yang mendongak, ada ekornya yang terbaring. Lalu syiling tersebut perlu diputar kembali, untuk membuat ekornya mendongak ke langit.

Revolusi perniagaan dalam talian

Sebelum pandemik ini bertapak pun, perniagaan dalam talian sudah pun menjadi revolusi di seantero dunia. Pilihannya jelas berbanding perniagaan konvensional, mudah malahan lebih jimat dengan adanya kod promosi dan sebagainya.

Pada mulanya, perniagaan dalam talian hanya berfokuskan kepada barangan seperti baju dan sebagainya. Namun, kekreatifan dan kepekaan manusia telah menyumbang kepada lahirnya perniagaan dalam talian yang berpaksikan penghantaran makanan ke rumah.

Penjarakan sosial atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengkomersialkan penghantaran makanan ke rumah, sehingga mewujudkan peluang pekerjaan baharu seperti penghantar makanan dengan menaiki motorsikal dan sebagainya.

Sudah tentu, perkara ini telah pun membuka pintu rezeki baharu kepada para peniaga, yang menyangkakan perniagaan mereka telah pun musnah tanpa kehadiran pelanggan. Kini, para peniaga mampu meluaskan perniagaan mereka dengan mengkomersialkannya dalam internet, aplikasi media sosial atau penghantaran produk ke rumah pelanggan.

Kreativiti mengatasi realiti

Jika difikir secara realitinya, sudah tentu perniagaan akan musnah dek pandemik ini. Ketiadaan pelanggan atau tempoh operasi yang singkat, sudah tentu menyumbang kepada faktor kemusnahan tersebut.

Namun, di sinilah kreativiti menjadi batu pemisah, antara realiti yang mematikan dengan realiti yang memberi nafas baharu. Pada ketika ini, para peniaga berebut-rebut untuk memasarkan produk mereka melalui internet, memuat turun video komersial produk di media sosial, malahan membuat penghantaran ke rumah.

Siapa kata pandemik ini menutup periuk nasi para peniaga? Walaupun ada benarnya, namun hanya para peniaga yang benar-benar berani mengambil risiko dan sanggup bereksperimentasi sahaja yang mampu menterbalikkan duit syiling yang sudah sedia terlangkup ke lantai.

Peluang demi rezeki

Media sosial antara medium terbaik bagi para peniaga. Aplikasi TikTok misalnya, yang dahulu tular kerana menjadi penyebaran budaya kurang elok, kini menjadi medium penyebaran produk para peniaga. Aplikasi-aplikasi lain seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Telegram juga terus digunakan bagi tujuan yang sama.

Persoalannya ialah, adakah peluang tersebut berani disahut demi pulangan rezeki yang halal? Tidak perlu memasarkan diri sendiri sebagai gimik murahan. Cukup produk yang dipasarkan hingga jelas kelebihannya, sudah pasti ada pelanggan yang mahu membeli.

Sifat peniaga yang baik sudah tentu seseorang yang bijak mencari peluang dan memanfaatkannya. Siapa tahu, pandemik yang dilihat menutup pintu rezeki, kini membuka pintu rezeki lain pula!