COVID-19 rahmat kepada perpaduan nasional

Kehidupan Ahmad Mahmud 14-Mei-2020
COVID-19 bawa rahmat perpaduan nasional © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Situasi pandemik koronavirus baru COVID-19 ketika ini dilihat telah membawa rahmat tersendiri, dan telah membantu memperkukuhkan konsep perpaduan di antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Menurut Prof. Sarjit Singh Gill, Penasihat Sekretariat Rukun Negara, Universiti Putra Malaysia (UPM), berbanding sebelum wabak itu bermula, masyarakat dari pelbagai latarbelakang telah mulai menyedari bahawa mereka perlu hidup bersama, saling tolong menolong dan hormat-menghormati.

Sememangnya ada semangat kerjasama sebelum COVIID-19 tetapi ia agak terbatas berbanding perdebatan, konflik, dan persaingan dalam kalangan rakyat. Namun semasa COVID-19 mengambil alih kelaziman yang lama, semakin banyak kerjasama wujud dalam masyarakat. Konflik seolah-olah tidak wujud, dan pertikaian dalam masyarakat yang melibatkan isu perkauman juga tidak dapat dilihat sekarang.

Inilah masanya bagi Kementerian Perpaduan Nasional meneliti hubungan bagaimana masyarakat dapat menerima saat perpaduan sebegini. Inilah rupa landskap perubahan baru dan di sini, kekuatan masyarakat seperti semua pertubuhan bukan kerajaan, organisasi agama dan kumpulan belia telah mula menggunakan operasi mereka untuk membantu masyarakat yang tergugat dalam krisis COVID-19.

Prof. Sarjit ditemui dalam Program ‘Ruang Bicara’ di Bernama TV bertajuk ‘#KitaJagaKita – Menguruskan Perpaduan Nasional’. Para tetamu yang hadir ialah Anuar Ahmad, pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

Anuar mengatakan sistem pendidikan di negara ini harus dikaji selari dengan cara berfikir serta bertindak masyarakat sekarang. Contohnya, penekanan kepada konsep memiliki sebuah negara bangsa. Selama COVID-19 ini, dilihat semua barisan hadapan dari pelbagai kaum sama-sama bekerja keras dan bersatu hati.

Tetapi kualiti ini perlu terus ditingkatkan agar masyarakat akan menghargai konsep kenegaraan di masa hadapan. Sekiranya perkara seperti Rukunegara, perpaduan dan merayakan kepelbagaian dikecualikan, Malaysia mungkin hanya akan menghasilkan ramai profesional yang tidak menghargai isu-isu nasional dan pada masa yang sama membawa keburukan kepada negara.

Sementara itu, Jufitri berkata jika media sosial tidak dikawal selia dengan baik, isu ini boleh menjadi penghalang semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Jika kita tidak mendidik generasi muda untuk menyaring berita, berfikir secara kritis dan yang paling penting membezakan antara berita benar dan palsu, media sosial yang membawa banyak berita palsu dan isu boleh mengakibatkan banyak kesan negatif. Jadi, anak muda perlu diajar bagaimana menggunakan platform media sosial dengan cara yang terbaik.