COVID-19 sebagai kemuncak revolusi maklumat

Kehidupan Adea Ghafar 13-Apr-2020
Masa untuk revolusi maklumat Muslim © Issaro Prakalung | Dreamstime.com

Semakin meningkat korban manusia, semakin sukar untuk berpaling dan menyedari apa sebenarnya COVID-19: kemuncak revolusi maklumat yang ketiga.

Revolusi terdahulu berlaku pada abad ke-15, ketika Johannes Guttenberg mencipta mesin cetak bergerak. Ini mewujudkan satu siri pergolakan dalam situasi politik dan ekonomi di Eropah. Pada skala yang lebih besar, Kristian Barat yang jauh ketinggalan di belakang Muslim Timur, telah meloncat ke hadapan dan akhirnya menakluki Timur serta seluruh dunia.

Persamaan ini dengan zaman sekarang adalah sangat menakjubkan.

Revolusi sekarang bermula pada akhir 1960-an apabila kemampuan pengkomputeran mula berganda setiap dua tahun. Hari ini, nilai komputer hanya satu per seribu daripada harga sebelumnya, dan sekitar lima bilion orang sentiasa di dalam talian, dengan kebanyakannya menggunakan pelbagai peranti.

Berlatar belakangkan ini, kesan yang paling ketara dari COVID-19 adalah ia mengunci seluruh dunia dalam rumah-rumah mereka. Orang yang tinggal di dalam rumah akan menggunakan masa yang banyak – terlebih banyak – masa dalam talian. Menurut Akamai, firma yang menjejaki aktiviti web, trafik Internet sedunia telah meningkat sebanyak lebih daripada 50%. Dan jika pakar ternyata betul, sekatan ini akan berterusan selama beberapa minggu, mungkin berbulan-bulan.

Apa yang akan kita saksikan seterusnya, adalah perkembangan lebih pantas akan apa yang telah pun  kita alami. Perniagaan kedai-kedai biasa akan jatuh lebih cepat dan bahagian pasaran mereka akan diambil oleh pesaing dalam talian. Lebih penting lagi, kita akan melihat perubahan terbesar pembentukan semula dunia dalam talian, dan bersamanya, dunia sebenar kehidupan kita.

Oleh itu, siapa yang akan menang? Dan siapa yang akan ketinggalan?

Eropah, kemungkinan besar akan berada di pihak yang kalah. Ia tidak mempunyai syarikat Internet sendiri. Google, Facebook, Amazon, eBay semuanya berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Secara teori, tiada salahnya apabila perniagaan dalam talian menggantikan perniagaan runcit tradisional. Mempertikaikan yang sebaliknya boleh memalukan: kemajuan teknologi pada masa lampau selalu membawa kepada kenaikan upah dan kebajikan masyarakat secara keseluruhan – ahli ekonomi menggelarnya kesan pampasan. Akhirnya, ekonomi baru telah dilahirkan, tempat kerja baru diwujudkan dan syarikat-syarikat baru membayar cukai untuk menyokong komuniti, sekolah dan hospital tempatan. Tidak perlu risau apa-apa.

Walau bagaimanapun, orang Eropah sepatutnya bimbang dan terus bimbang. Dan sebabnya mudah: ekonomi lama, tempat kerja lama dan cukai yang lama akan hilang di Eropah sementara ekonomi baru, tempat kerja baru dan cukai baru akan diwujudkan di AS.

Tahun lepas, parlimen Perancis meluluskan levi 3% ke atas pendapatan yang dijana oleh syarikat-syarikat seperti Google dan Facebook di dalam negara. Tindakan itu memberangkan rakyat Amerika dan Donald Trump telah mengarahkan pegawai perdagangannya yang paling kanan untuk mengendalikan apa yang dipanggil penyiasatan Seksyen 301 ke atas cukai perkhidmatan digital Perancis, amaran terbuka perang perdagangan berskala penuh. Perancis akhirnya menyokong dan menangguhkan pengenalan cukai baru itu.

Tetapi kenapa Paris memperkenalkan cukai itu pada permulaannya? Kerana syarikat-syarikat teknologi tidak membayar cukai di Perancis. Mereka memanfaatkan pelbagai kelemahan dan dapat mengawal bil cukai mereka pada kadar terendah. Pada mulanya, Paris berharap cukai yang sama terhadap syarikat teknologi akan dikenakan di peringkat EU tetapi ia tidak berlaku maka Paris memutuskan untuk bertindak sendirian.

Tahun lepas, ahli-ahli parlimen British telah membentuk kumpulan semua parti untuk menyiasat mengapa syarikat-syarikat gergasi internet tidak membayar cukai, atau hanya membayar sedikit dari pendapatan mereka di United Kingdom (UK). Sebagai contoh, Amazon membayar £14.7 juta cukai korporat daripada jualan sebanyak £2.3 bilion di UK, iaitu hanya £0.63 bagi setiap £100 pendapatan. Operasi Facebook di UK membayar £28 juta walaupun mencatat rekod jualan sebanyak £1.6 bilion, dan Netflix juga menerima rebat cukai sebanyak £51,000 dari kerajaan UK walaupun telah menghasilkan £700 juta dari pelanggan-pelanggan British.

Situasi ini nampaknya cukup membimbangkan Eropah. Pada dasarnya, ia berada dalam kedudukan yang belum pernah lagi berlaku: ia harus memperkenalkan sistem baru dalam percukaian antarabangsa. Dan ini harus dilakukan dari kedudukan penawaran yang lemah.

Namun, sandiwara sebenar akan berlaku di negara-negara Islam. Sekali lagi.

Apa yang benar-benar mengejutkan tentang dunia Islam ialah ia satu-satunya tamadun utama tanpa dunia maya yang tersendiri. Satu setengah bilion orang berkongsi kepercayaan, kaya dengan sejarah dan tradisi budaya yang lama tetapi tidak mempunyai ruang digital yang akan menyebarluaskan identiti budaya mereka, dan bukannya cerminan Barat.

Kita cenderung melihat Internet sebagai teknologi semata-mata, suatu fenomena neutral. Ini adalah salah, kata Profesor Saskia Sassen dari Columbia University: dunia dalam talian adalah imej pantulan dari dunia material yang menciptakannya. Ia adalah rantaian nilai yang menggalakkan identiti budaya tertentu dan oleh itu, instrumen yang paling penting dalam pendekatan kuasa lembut.

Ia jelas mengapa China dan Rusia melabur dengan banyaknya dalam penciptaan realiti dalam talian yang akan menjadi lanjutan dunia mereka sendiri, bukan dunia orang lain.

Internet, jika digunakan dengan betul, dapat menghasilkan semacam kebangkitan semula (Renaissance) Islam yang serupa dengan perkembangan  sains, budaya dan ekonomi Islam di zaman Abbassid. Jika tidak, dunia Islam bakal tenggelam ekonomi dan budayanya di bawah penyerapan pengaruh Barat.

Satu skandal ke skandal yang lain – dari pendedahan Edward Snowden ke Cambridge Analytica dan pengambilan data peribadi yang menyalahi undang-undang – menunjukkan bagaimana syarikat Internet mengintip pengguna-pengguna mereka, menipu mereka dan memesongkan realiti mereka. Kandungan yang memudaratkan, meresap ke dalam semua laman rangkaian sosial, terkenal sebagai penyebab kerosakan psikologi minda anak-anak muda yang tidak dapat dipulihkan.

Seperti yang ditunjukkan oleh Profesor Allen B. Downey, Internet mempunyai kesan buruk terhadap keagamaan. Kajiannya mengaitkan 20% daripada penurunan dalam hal hubungan keagamaan selama empat puluh tahun yang lalu adalah akibat daripada meningkatnya penggunaan Internet.

Oleh itu adalah menarik sekali betapa kurangnya syarikat-syarikat yang boleh menjadi alternatif sebenar kepada gergasi-gergasi Internet barat. SalamWeb, satu-satunya pelayar web Islam dan berekosistem mesra Muslim, adalah satu daripadanya. Seharusnya perlu ada lebih banyak. Ramai orang Muslim tidak tahu tentang kewujudan SalamWeb.

Ironi yang menyedihkan adalah terlalu banyak Muslim yang baik, sewaktu mengasingkan diri di rumah mereka, secara tidak sengaja dan tidak sedar sedang menyuap apa yang akan menjadi musuh mereka yang paling besar dan merbahaya. Maka tidak menghairankan mengapa Rusia dan Cina sedang bekerja keras untuk memiliki dunia maya mereka sendiri. Dunia Muslim juga sepatutnya begitu.

 

Artikel ini telah diterbitkan di AMEinfo.com