Cukai digital 6%: Peniaga kecil bakal terkesan

Perniagaan MAS 30-Dis-2019
Cukai digital
© Mayuree Moonhirun | Dreamstime.com

Peniaga kecil mendakwa mereka bakal menerima kesan negatif akibat cukai digital 6% yang bakal dikenakan. Sementara itu, golongan pengguna pula menyatakan mereka perlu tunggu dan lihat akan kesan cukai berkenaan terhadap mereka.

Menurut Vincent Teh, pengendali firma perundingan perniagaan, cukai digital akan menjadi beban kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau pemula niaga. Beliau menganggarkan bayaran tambahan sebanyak RM200 atau RM300 setahun untuk perniagaannya yang menggunakan perkhidmatan dari Google, Facebook dan Instagram.

Oleh kerana kesukaran mendapatkan sistem yang disesuaikan, syarikat-syarikat kecil bergantung kepada perkhidmatan G-suite Google, iklan Facebook dan media sosial. Perniagaan ini akan menerima kesan akibat pergantungan tersebut. Beliau berpandangan PKS dan pemula niaga perlu diberi pengecualian terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.

Brian Tang, pengasas pemula niaga pendidikan menegaskan cukai berkenaan akan meningkatkan kos perniagaannya. Beliau menggunakan perkhidmatan Amazon Web Services (platform pengkomputeran awan) yang berkos tinggi. Tambahan 6% di atas kos sedia ada merupakan kos yang perlu ditanggung. Sebagai permula niaga yang kecil, kos untuk menarik pelanggan pasti akan bertambah. Buat masa ini, beliau tidak banyak menggunakan iklan Facebook dan cukai tersebut pasti akan menghalangnya daripada berbuat demikian.

Pengguna hiburan digital juga perlu bersedia dengan kemungkinan kenaikan harga. Ini boleh berlaku sekiranya penyedia perkhidmatan mengenakan kos tambahan terbabit kepada mereka.

Danielle Cheng memaklumkan beliau akan menunggu penjelasan lanjut daripada penyedia hiburan dalam talian mengenai cukai digital. Beliau berpendapat peniaga bertanggungjawab untuk memaklumkan pelanggan jika mereka perlu membuat bayaran tambahan. Bayaran berkenaan mungkin membebankan sesetengah pihak tetapi ianya sudah dijangka.

Menurut Aisyah Nabilah Suwardi pula, cukai berkenaan tidak akan menghalangnya daripada menikmati perkhidmatan hiburan dalam talian. Beliau tidak merasa keberatan untuk membayarnya kerana memiliki pendapatan stabil. Beliau sering melanggan hiburan dalam talian dan menyetujui langkah berkenaan. Namun demikian beliau berpendapat, kadar cukai berkenaan sepatutnya lebih rendah pada paras 3% untuk permulaan.