Dakwah tugas semua

Kehidupan Hanita Hassan 07-Sep-2020
dreamstime_s_119072031
Dakwah tugas semua © shuha suha | Dreamstime.com

Tugas menyampaikan Islam dan mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT tidak berhenti selepas kewafatan Rasulullah SAW.  Sebaliknya menjadi tanggungjawab kita pula sebagai umatnya untuk meneruskan usaha berdakwah agar manusia tidak tersesat daripada landasan Allah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai Rasul!  Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; Jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bererti engkau tidaklah menyampaikan risalah-Nya; Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”  (Surah Al-Maidah, ayat 67)

Setiap daripada kita mempunyai peranan tersendiri dalam melakukan dakwah.  Sebagai contoh, tugas guru menyampaikan dakwah melalui ilmu, penyanyi melalui lirik nyanyiannya, penulis melalui mata penanya, pemimpin masyarakat melalui perbuatan dan tindakannya, penerbit televisyen melalui rancangan terbitannya, pelakon melalui lakonan tentang kisah-kisah yang mengandungi unsur dakwah dan begitulah selanjutnya.

Hari ini, tugas menyebarkan dakwah bukan hanya terletak di bahu para pendakwah atau alim ulama sahaja. Apa jua kedudukan kita dalam masyarakat, tugas dakwah juga adalah tanggungjawab kita dan tidak boleh ditinggalkan.

Berdakwah menurut cara Rasulullah SAW adalah sebaik-baiknya kepada orang Islam apatah lagi bukan Islam. Banyak riwayat yang menyebut   kaedah Rasulullah berdakwah adalah melalui bil hikmah.  Dengan tutur kata yang baik serta akhlak terpuji memberi kesan kepada sesiapa yang mendengarnya.

Setiap kata-kata Baginda adalah satu bentuk dakwah kerana ia sesuatu yang benar dan berilmu. Daripada Amru Ibn al-Ash r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sampaikanlah apa-apa daripada ku walaupun satu ayat.”  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Teknologi juga membantu kita untuk menyebarkan dakwah.  Penggunaan telefon pintar dan aplikasi whatshapp, youtube, telegram, facebook, twitter dan sebagainya, dengan mudah dakwah boleh disampaikan.  Setiap pagi kita boleh menghantar pesanan ringkas berupa nasihat kepada rakan-rakan melalui telefon pintar atau email.  Atau setiap kali masuk waktu solat, kita kirimkan doa dan zikir-zikir yang boleh diamalkan selepas solat.

Tanpa sedar, kita sedang melakukan dakwah setiap hari. Peranan ini kelihatan kecil tetapi kesannya cukup besar dalam kehidupan orang yang menerima mesej tersebut.  Contohnya, apabila mesej yang kita sampaikan digunakan oleh mereka yang membacanya, secara tidak langsung kita telah melaksana tugas sebagai pendakwah.  Teknologi sekiranya digunakan dalam konteks yang baik, sudah tentu ia akan mendatangkan kebaikan kepada diri kita dan seluruh masyarakat.

Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata yang Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”  (HR Muslim, no. 1893)

Keutamaan dakwah adalah menunjukkan kebaikan kepada orang lain sama ada kebaikan di dunia mahupun di akhirat dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala.  Amalan yang memberi faedah kepada orang lain adalah lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang hanya terbatas untuk diri sendiri.

Amalan kebaikan yang ditunjukkan juga merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan.  Inilah kelebihan dan anugerah Allah SWT. Semoga kita sama-sama dapat melaksana tugas besar ini demi membawa manusia ke jalan yang benar.