Dalia Mogahed dan Islam – wanita muslim berpengaruh dunia

Dunia Hanita Hassan 19-Sep-2020
341px-Dalia_Mogahed
Dalia Mogahed © By CC BY 2.0, Link

Diangkat oleh majalah Arabian Business sebagai salah seorang muslimah Arab yang paling berpengaruh, digelar sebagai Penginovasi Sosial Terbaik Dunia Arab oleh Ashoka dan 200 orang paling menonjol sesuai dengan semangat dan ketokohan Frederick Douglass.  Cendekiawan muslim inspirasi dunia ini ialah Dalia Mogahed.

Berasal dari Mesir dan bermastautin di Amerika sejak usianya empat tahun. Dalia Mogahed memperoleh Ijazah Kejuruteraan Kimia dengan Bahasa Arab dari Universiti Wisconsin.  Dia memulakan kerjaya sebagai Penyelidik Pemasaran Produk di Procter & Gamble, kemudian menyambung pengajian di peringkat Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Pittsburgh.

Dalia Mogahed merupakan Pengarah Penyelidikan di Institut Dasar dan Pemahaman Sosial (ISPU) di Washington D.C, sebuah organisasi yang menjalankan penyelidikan secara terperinci bagi mendapatkan maklumat dan membuat keputusan tepat terhadap  cabaran dan peluang yang dihadapi oleh masyarakat muslim di Amerika.

Beliau juga merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Mogahed Consulting, iaitu sebuah firma perunding yang memfokuskan pembangunan kepimpinan muslim dan  Timur Tengah.

Semasa pentadbiran Presiden Obama, dia telah dipilih sebagai Penasihat Jalinan Agama dan Kejiranan kepada Rumah Putih. Penubuhan jabatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan serta membantu mereka yang memerlukan.

Dalia Mogahed juga telah diangkat oleh majalah Arabian Business, iaitu majalah yang memaparkan berita dan rencana tentang perkembangan di  wilayah  Timur Tengah sebagai salah seorang wanita Arab yang paling berpengaruh.

Dalia Mogahed turut tersenarai antara 500 Muslim paling berpengaruh oleh Pusat Kajian Strategik Islam Diraja.  Sebuah badan penyelidikan antarabangsa Islam bukan kerajaan yang bersekutu dengan Institut Diraja Aal al-Bayt, yang mengkaji  pemikiran Islam.

Pada tahun 2010, Dalia Mogahed telah dianugerahi gelaran Penginovasi Sosial Terbaik Dunia Arab oleh Ashoka: Penginovasi Orang Awam. Ashoka adalah sebuah organisasi yang mengenalpasti serta menyokong usahawan sosial. Fokusnya adalah  melaksana kaedah terpimpin bagi membantu orang ramai menangani perubahan masyarakat dan persekitaran selain melengkapkan kemahiran kepimpinan yang berguna kepada orang awam. Organisasi ini menjalankan programnya  di lebih 90 buah negara.

Persatuan Alumni Universiti Wisconsin turut memberi penghormatan kepada usaha Dalia Mogahed dengan menganugerahkan beliau dengan gelaran ‘Forward Under 40’ atau ‘Usahawan di bawah usia 40’.  Gelaran tersebut atas sumbangan luar biasanya selaku graduan Universiti Wisconsin.

Sebuah buku berjudul ‘Who Speaks For Islam?: What a Billion Muslim Really Think’ telah diterbitkan secara bersama oleh Dalia Mogahed dan John Esposito, iaitu penyelidikan yang telah dijalankan selama enam tahun dan mengandungi lebih daripada 50 ribu temu bual.

Penyelidikan dan temu bual dengan umat Islam itu dilakukan di lebih  35 buah negara yang majoriti beragama Islam. Kajian ini merupakan yang terbesar dan paling teliti seumpamanya kerana mewakili lebih daripada 90% jumlah populasi umat Islam dunia.

Dalia Mogahed telah membuat ulasan tentang dokumentari bertajuk ‘Inside Islam:What a Billion Muslim Really Think (2010)’ berdasarkan bukunya dan telah memenangi pelbagai anugerah. Analisanya juga telah muncul di akhbar-akhbar antarabangsa seperti The Wall Street Journal, Harvard International Review dan jurnal-jurnal terkenal yang lain.

Inisiatif Keluarga Frederick Douglass dan Pusat Penyelidikan Dasar Anti Perkauman di Universiti Amerika pada tahun 2019 telah menyenaraikan  ‘200 nama paling menonjol sesuai dengan semangat dan ketokohan Frederick Douglass, antara  tokoh paling berpengaruh dalam sejarah’. Senarai ini telah dihasilkan dengan kerjasama sebuah badan, ‘The Guardian’ dan sekali lagi nama Dalia Mogahed tersenarai.

Tidak disangkal lagi, Dalia Mogahed bukan sahaja  komited dan gigih berusaha – dia juga lambang inspirasi buat kita semua khususnya kaum wanita. Hasil kerjanya sejak berkhidmat kepada masyarakat sebagai bukti bahawa kejayaan boleh dicapai sekiranya ada tekad dan ketekunan.