Dana khas Majlis Olimpik Malaysia bantu ahli-ahli Persatuan Sukan Kebangsaan

Sukan Syed Safri 17-Apr-2020

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mewujudkan dana khas untuk membantu ahli-ahli Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang terjejas dan berdepan dengan masalah kewangan susulan wabak COVID-19.

Langkah proaktif ini telah memperuntukkan RM300,000 daripada Tabung Amanah MOM untuk memberi bantuan kepada seluruh PSK ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan akibat pandemik virus yang sedang melanda.

COVID-19 telah menjejaskan industri sukan secara keseluruhan, dan dana ini diharap dapat membantu ahli-ahli PSK dalam menampung perbelanjaan pentadbiran mereka. Semua penangguhan, pembatalan dan ketidakmampuan perjalanan operasi dan acara telah menjejaskan aliran pendapatan. Namun, perbelanjaan operasi perlu diambilkira walaupun tiada sumber pendapatan.

Pihak MOM akan memaklumkan tentang proses dan prosedur permohonan dana kepada semua ahli-ahli PSK  dengan seberapa segera. Ahli lembaga pengarah MOM juga akan menawarkan diskaun kadar sewa bulanan sebanyak 50% kepada penyewa di Wisma MOM bagi bulan April dan Mei 2020.

Perkembangan semasa wabak COVID-19 ini akan diawasi secara berterusan. MOM juga akan memastikan interaksi berterusan dengan semua pihak berkepentingan, terutamanya dengan ahli-ahli gabungan PSK.