Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Darell temui rakan sejawat, CEO di WEF di Davos

Forum Ekonomi Dunia, World Economic Forum
Forum Ekonomi Dunia © Palinchak | Dreamstime.com

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dijadualkan akan menyertai Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020 di Davos, bermula Selasa selama empat hari. WEF 2020 menampilkan tema utama bertajuk “Stakeholders for a Cohesive and Sustainable World”. WEF adalah organisasi bebas antarabangsa berkaitan kerjasama awam-swasta yang misinya adalah untuk menambahbaik prestasi ekonomi dunia.

Antara lain, Darrel akan berkongsi pengalaman Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN dan Inisiatif Jalur dan Laluan. Beliau juga akan bercakap mengenai cabaran industri, serantau dan global terkini dari kacamata Malaysia. Perbincangan dijangka  akan menyentuh isu-isu perdagangan dua hala dan pelaburan dengan rakan sejawat termasuk dari Palestin, Turki dan Switzerland.

Bagi membincangkan mengenai potensi perniagaan di Malaysia, beliau akan bertemu dengan kalangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat multinasional termasuk Jumeirah Group, Standard Chartered, ABB Group, Micron dan Novartis. Ini akan dimanfaatkan untuk menarik pelaburan dengan memberi pencerahan tentang dasar dan kemudahan infrastruktur negara yang mesra perniagaan.

Mesyuarat dan wacana tahunan WEF yang biasanya berlangsung pada setiap awal tahun ini akan mengumpulkan pemimpin perniagaan utama dunia, pemimpin politik dan masyarakat serta ahli akademik. Seramai 2,500 peserta akan hadir dan ini terdiri daripada 300 ketua negara dan wakil kerajaan, serta 1,500 pemimpin korporat global. Menteri-menteri akan memberikan pandangan masing-masing dan berdialog mengenai masalah serta cabaran perdagangan antarabangsa.

Perkara-perkara yang selalu diberikan perhatian adalah berkenaan isu-isu besar sejagat, kesan langsung kepada ekonomi dunia dan tindakan bagi mengutarakan perancangan dan saranan dalam mengawal dan menangani segala persoalan dan cabaran mendatang. Darell juga akan turut mewakili Malaysia pada Pertemuan Peringkat Menteri Tidak Formal di Pertubuhan Perdagangan Dunia yang dianjurkan oleh kerajaan Switzerland.