Daripada KUSZA, kini menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin

Pendidikan Md Wa'iz
Terkini
Daripada KUSZA, kini menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin
Daripada KUSZA, kini menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin © facebook.com/UniSZAedumy

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang terletak di Negeri Terengganu adalah salah sebuah universiti awam yang ada di Malaysia. Menariknya, asas kepada penubuhan universiti ini ialah daripada sebuah kolej Islam milik Kerajaan Negeri Terengganu.

Berikut adalah penerangan selanjutnya.

Sejarah penubuhan Universiti Sultan Zainal Abidin

Pada tahun 1980, sebuah kolej Islam telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang dinamakan sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Pada peringkat awal penubuhan, kolej ini tidak mempunyai kampus tetapnya lagi dan beroperasi di Sekolah Menengah Ugama Atas Sultan Zainal Abidin.

Pada tahun 1985, Almarhum Sultan Terengganu pada ketika itu, Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan untuk meletakkan batu asas pembinaan kampus tetap KUSZA di Gong Badak, Kuala Terengganu. Program pertama yang ditawarkan oleh KUSZA pada awal penubuhannya ialah Diploma Pengajian Islam (Syariah).

Pada 26 Mac 2005, KUSZA telah dinaik taraf menjadi sebuah universiti penuh dan dikenali dengan nama baharu iaitu Universiti Darul Iman Malaysia atau ringkasnya UDM. Penubuhan UDM ini adalah kerana Kerajaan Malaysia ingin menubuhkan sebuah universiti baharu di Negeri Terengganu.

Pada 13 April 2010, Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan untuk menukarkan sekali lagi nama universiti ini kepada nama baharu iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin yang juga lebih dikenali ramai dengan nama ringkasnya, UniSZA.

Tiga kampus Universiti Sultan Zainal Abidin di negeri Terengganu

Seperti kebanyakan universiti awam yang lain, UniSZA turut mempunyai beberapa kampus cawangannya selain kampus utama.

Kampus utama UniSZA terletak di Gong Badak yang sebelum ini dikenali sebagai Kampus KUSZA. Ini kerana, kampus utama UniSZA ini juga adalah tapak asal KUSZA sebelum ditukar kepada UniSZA. Di kampus ini, pengajian lebih tertumpu kepada bidang pengajian Islam, sains sosial, sains kesihatan dan pengurusan.

Kampus kedua pula terletak di Batu Burok iaitu Kampus Kesihatan. Sebelum ini, ia dikenali dengan nama Kampus Kota yang menempatkan pelajar daripada bidang perubatan.

Kampus ketiga UniSZA terletak di Besut iaitu di Taman Ilmu Terengganu di Tembila. Ini adalah kampus terbaharu UniSZA dan menempatkan pengajian dalam bidang farmasi, sains pertanian dan juga teknologi.

UniSZA kini mempunyai 11 buah fakulti dan menawarkan pengajian daripada seawal Pengajian Asasi sehinggalah ke Doktor Falsafah.

Universiti dengan latar belakang pengajian Islam

Mungkin ramai yang tidak tahu, KUSZA pada awalnya hanyalah sebuah kolej Islam milik Kerajaan Negeri Terengganu dan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Walaupun pada awalnya ia diasaskan sebagai sebuah kolej Islam, ia berkembang dengan lebih pesat selepas pertukarannya menjadi sebuah universiti.

Kini, universiti ini bukan sahaja menawarkan pengajian Islam, tetapi juga menawarkan pengajian perubatan, sains dan teknologi. Dengan itu, UniSZA dapat melahirkan lebih ramai teknokrat daripada kampus yang asalnya sebuah kolej Islam.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.