Data peribadi dan bahaya penjejakan iklan

Kehidupan MAS 05-Jun-2020
Penjejakan iklan, Ad tracking
Penjejakan iklan atau Ad tracking © Dimarik16 - Dreamstime.com

Pernahkah anda melayari internet secara kasual dan membaca perkongsian sahabat anda tentang percutian keluarga di luar negara di laman sosial? Jika anda sememangnya seorang yang gemar melancong, perkongsian seperti ini pastinya dinanti-nantikan sebagai panduan destinasi yang boleh dikunjungi pada masa hadapan.

Teruja dengan pengalaman menarik berkenaan, anda mungkin cuba mencari maklumat tambahan dari beberapa laman web tentang lokasi percutian tersebut. Anda juga mungkin melakukan beberapa carian menggunakan pelayar atau menonton beberapa video YouTube tentang lokasi berkenaan.

Kemudian, dengan tidak semena-mena anda akan dapati iklan penerbangan murah dan diskaun penginapan ke lokasi tersebut terpapar di pelayar internet, Facebook dan YouTube anda! Ia seakan-akan magik, apabila iklan berkenaan seolah-olah dapat membaca fikiran dan rancangan anda terlebih dahulu.

Namun, apa yang sebenarnya yang telah berlaku? Perkara yang berlaku ini dikenali sebagai penjejakan iklan (ad tracking). Walaupun ianya sangat kontroversi kerana melibatkan privasi seseorang, tidak dapat dinafikan ianya sangat efektif dalam menghasilkan pengiklanan unik kepada individu terbabit (personalised advertisement).

Walaupun ini jelas menunjukkan sebahagian daripada isu-isu etika yang tidak dapat dielakkan, kesannya adalah penghasilan pemasaran yang tepat kepada golongan sasar. Seterusnya, ia meyakinkan pengguna untuk klik dan seterusnya membeli produk berkenaan.

Secara mudah, penjejakan iklan menggunakan alamat IP (internet protocol) peranti dan data dari pelayar anda yang dikenali sebagai kuki (cookie) untuk mendapatkan maklumat peribadi. Maklumat ini termasuk laman web yang anda kunjungi, sebarang pautan yang anda klik, iklan yang pernah anda lihat, gambar dan kumpulan di laman sosial yang anda gemari, kekerapan dan tempoh masa yang anda luangkan.

Teknologi algoritma yang pelbagai ini kemudiannya akan meramalkan kecenderungan anda dan memaparkan iklan yang mungkin anda sukai. Dua cara paling efektif dalam penjejakan iklan adalah penggunaan media sosial dan juga pelayar internet. Sebahagian besar pasaran dalam pengiklanan digital dikuasai oleh Facebook dan Google.

Ini tidak menghairankan kerana kedua-dua syarikat gergasi ini memiliki sebegitu banyak aplikasi dengan jumlah pengguna yang tinggi seperti Facebook yang turut memiliki Instagram dan Whatsapp. Google pula memiliki aplikasi Google Search, Chrome, Gmail dan YouTube.

Ini tidak semestinya merupakan hal yang tidak baik. Malah, internet memberikan banyak manfaat dalam bentuk aplikasi e-mel, enjin carian, platform media sosial dan perkongsian video yang kebanyakannya kekal percuma kerana kos operasinya ditampung oleh pengiklan.

Jika ia berfungsi secara optimum, hubungan ini boleh disifatkan sebagai situasi menang-menang kerana pengiklan berjaya menjual produk berkenaan dan dalam masa yang sama pengguna juga dapat membeli produk atau perkhidmatan yang sememangnya diperlukan.

Implikasi negatif etika teknologi sebegini mudah berlaku dan ia timbul apabila data yang terkumpul digunakan, disimpan dan dijual. Skandal terbesar setakat ini melibatkan Facebook dan firma penganalisis data politik, Cambridge Analytica yang  mengekstrak maklumat peribadi pengguna-pengguna Facebook tanpa kebenaran.

Ini telah melibatkan kira-kira 50 juta akaun penggunanya. Cambridge Analytica telah mengeksploitasikan data tersebut untuk menjana profil psikografik tentang pengundi yang berkaitan secara langsung dengan kempen Donald Trump ketika pilihanraya presiden 2016.

Persoalannya, bagaimana seorang muslim yang berhati-hati dalam agama sepatutnya berurusan dengan teknologi sebegini? Jika anda mahu mengawal data peribadi dan aktiviti dalam talian daripada dijejak, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan peluang perkara ini daripada berlaku.

Apa yang perlu diperbetulkan ialah bagaimana anda mengatur tetapan lanjutan dan tetapan keselamatan enjin carian yang anda gunakan. Tujuannya ialah untuk mematikan atau mengurangkan fungsi kuki atau kuki penjejak pada pelayar web terbabit. Oleh itu, anda boleh memilih tahap privasi yang anda mahukan mengikut kesesuaian penggunaan, sama ada rendah, sederhana atau tinggi.

Anda juga boleh melayari internet ‘secara rahsia’ dengan menukar mod pelayar web anda kepada mod penyamaran (incognito), di mana aktiviti internet anda tidak akan disimpan dalam peranti. Terkini, anda mempunyai pilihan untuk bertukar kepada enjin carian alternatif yang cenderung privasi, seperti DuckDuckGo atau Brave yang tidak menjejak dan memprofilkan akaun pengguna.

Akhir sekali, untuk mengawal Facebook daripada memaparkan iklan yang disasarkan khusus kepada anda, sila ubah tetapan iklannya dengan memilih untuk tidak membenarkan sebarang jenis pengiklanan yang didapati di dalam Facebook. Anda mungkin akan tetap dapat melihat iklan produk atau servis tetapi ianya akan menjadi kurang atau tidak relevan.