Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah – DMFK

exceldmfk.com
DMFK atau Dr. Mohd Fadzilah Kamsah © exceldmfk.com

Pakar motivasi yang berasal dari Selangor ini memang cukup terkenal di Malaysia. Siapa yang tidak kenal dengan nama Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah? Beliau yang turut dikenali dengan inisial DMFK ini semestinya telah banyak memberi sumbangan dalam pembangunan motivasi dan keluarga di Malaysia.

Dari Sains Pertanian ke Komunikasi Organisasi

Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah dilahirkan pada 16 Julai 1951. Beliau mempunyai ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Malaya (1975). Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah Sarjana Sains Pertanian Kewartawanan di University of Wisconsin – Madison, Amerika Syarikat (1977). Seterusnya, beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah Komunikasi Organisasi daripada universiti yang sama di Madison, Wisconsin ini pada tahun 1984.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Putra Malaysia pada 1977 setelah lulus pengajian peringkat sarjana, dan kemudiannya setelah selesai pengajian di peringkat doktor falsafah.  Pada tahun 1993, beliau telah mengasas dan menubuhkan sebuah syarikat perundingan yang menyediakan khidmat pembangunan motivasi dan keluarga.

Dato’ Dr. Fadzilah kerap muncul di kaca televisyen melalui beberapa program Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima. Antara program yang terkenal ialah segmen motivasi di saluran TV1 (RTM) yang masih bersiaran sehingga kini.  Selain itu beliau turut aktif menulis buku-buku berkaitan motivasi dan pembangunan keluarga.

Selain itu melalui syarikat perundingan motivasi beliau, lebih 6000 program latihan telah dikendalikan. Antara bidang kepakaran utama perkhidmatannya ialah motivasi, komunikasi, perhubungan awam dan hubungan kemanusiaan.

Syarikat perundingan Dato’ Dr. Fadzilah juga mengkhusus dalam bidang khidmat pelanggan, etika kerja, budaya korporat, kaunseling, kepimpinan, pengurusan, penyeliaan, dan keibubapaan. Program-program kendalian syarikat beliau ini dikelolakan untuk agensi kerajaan dan juga swasta.

Sumbangan bermakna dalam pembangunan modal insan dan keluarga

Gaya percakapan yang tersendiri dan tenang setiap kali berucap membuatkan ramai yang terkesan dengan nasihat dan kata-kata motivasi yang diberikan. Malah pakar motivasi yang tampan dan serba boleh ini mempunyai karisma dan keperibadian tersendiri yang unik.

Ini menyebabkan banyak pihak memilih Dato’ Dr. Fadzilah dan syarikatnya dalam mengelolakan program-program motivasi mereka. Atas sumbangan beliau kepada pembangunan modal insan dan keluarga, beliau telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor pada tahun 2008.

Kejayaan Dato’ Dr. Fadzilah dalam bidang motivasi dan pembangunan modal insan serta keluarga ini telah melahirkan lebih ramai lagi pakar-pakar motivasi dalam negara. Penceramah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew juga pernah berkhidmat di bawah syarikat beliau sebagai penceramah motivasi dan jurulatih.

Seorang graduan dengan pendidikan asas dalam bidang pertanian, akhirnya menguasai bidang komunikasi pilihan hati. Begitulah serba sedikit penulisan mengenai pakar motivasi yang tersohor dan mengagumkan di Malaysia – Dr. Mohd Fadzilah Kamsah atau DMFK!