Dato’ Fazley Sibuk Ulang-alik Ke Sabah dan Sarawak

Processed with VSCO with a6 preset

Ketika ramai selebriti memilih untuk berehat di bulan Ramadan, lain pula ceritanya dengan Selebriti Chef, Dato’ Fazley Yaakob.

Sepanjang tempoh Ramadan ini, Dato’ Fazley perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Bintulu kerana panggilan tugas.

Selain sibuk dengan kafe milik beliau, Suka Sucre Bistro, Dato’ Fazley juga terikat dengan tiga buah hotel terkemuka sebagai selebriti undangan yang bertanggungjawab menyediakan juadah bufet buka puasa di hotel- hotel terbabit.

“Ramadan tahun ini saya memang sangat sibuk sebab saya perlu mengendalikan outlets iaitu Hotel Four Seasons Kuala Lumpur, Hotel Promenade Kota Kinabalu, Hotel Promenade Bintulu dan kafe saya sendiri Suka Sucre Bistro.”

“Tanggungjawab saya ini memang agak berat dan memenatkan, tetapi Alhamdulillah kami mendapat maklumbalas yang sangat baik.”

“Saya gembira kerana dapat membantu hotel-hotel ini mempromosikan juadah berbuka puasa mereka. Saya dapat tahu, tempahan di setiap hotel penuh setiap hari, begitu juga dengan Suka Sucre yang sentiasa penuh pada hujung minggu.”

Dalam seminggu saya akan habiskan masa tiga hari di Four Season Kuala Lumpur, sehari ke dua hari di Promenade Kota Kinabalu dan Bintulu dan selebihnya saya akan berada di Suka Sucre Bistro,” ujar Dato’ Fazley berkongsi cerita.

Dalam masa yang sama, MasterChef Selebriti Malaysia 2012 ini juga memberitahu selain sibuk di dapur, sepanjang Ramadan ini dia juga menerima undangan nyanyian serta terbabit dengan beberapa kolaborasi lain.

“Saya tidak sangka, Ramadan kali ini saya menjadi ‘super busy’. Selain sibuk dengan tanggungjawab Chef, saya juga masih menerima undangan nyanyian untuk menyampaikan lagu-lagu Raya saya sendiri. Orang masih ingat walaupun lagu Seribu Kemaafan itu sudah 12 tahun dirakam.”

“Malah, streaming di Spotify untuk lagu ini juga masih banyak. Begitu juga dengan lagu raya tahun lalu, Ku Mohon Kemaafan dan sebelum itu Dendang Anak Merantau. Ketiga-tiga lagu ini masih mendapat tempat di hati peminat.”

“Selain itu, saya juga terlibat dengan beberapa kempen lain seperti dengan Pusat Beli-Belah MyTOWN. Saya menjadi ‘The Face of Raya Campaign MyTOWN’.”

“Selain buat demo memasak pada majlis pelancaran hari ini, saya juga perlu membantu mempromosikan MyTOWN di sosial media sebagai pusat membeli-belah yang boleh dikunjungi untuk membuat persiapan Raya,” ujar Dato’ Fazley yang baru sahaja dilantik sebagai duta Teh Boh selama setahun.