“Dato” S Singkap Kisah Kegiatan Penipuan ‘Scammer’

Setelah berjaya dengan percubaan pertamanya dalam menghasilkan senaskhah filem televisyen ‘The Hantus’ pada tahun lepas, Nabil Ahmad sekali lagi menzahirkan buah tangan terbaharunya yang berjudul “Dato” S.

Filem televisyen itu kini disiarkan di Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula 24 Oktober 2019 selain turut boleh ditonton di platform digital ‘on demand’.

Arahan pengarah berbakat besar, Shahrol Esham dam idea asal oleh Nabil sendiri, “Dato” S diterbitkan oleh KMN Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama Cinemalaya Sdn. Bhd.

Menurut Nabil, yang juga merupakan penerbit dan turut terlibat secara langsung dalam penulisan skrip, “Dato” S diharap dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan gejala yang menular ketika ini.

“Filem televisyen ini adalah berdasarkan kisah benar dari pengalaman ibu saya sendiri yang pernah ditipu dengan skim cepat kaya.

“Saya melihat aktiviti seperti ini masih berleluasa sehingga ke hari ini dan tiada satu pun penerbit yang mengangkat tema seperti ini.

“Disebabkan itu, saya berbincang dengan penulis skrip dan berkongsi idea untuk mencantikkan lagi jalan cerita agar ia lebih menarik untuk ditonton dan mempunyai unsur komedi,” ujarnya.

“Dato” S menampilkan pendekatan yang berbeza dan cukup berani apabila mengangkat isu-isu semasa yang membimbangkan dan kian berleluasa dalam kalangan masyarakat pada hari ini, terutamanya berkaitan dengan penipuan duit haram, scammer, penyamaran dan sebagainya.

Berkonsepkan aksi komedi dan plot penceritaan yang mendebarkan, “Dato” S menampilkan nama-nama besar industri sebagai tonggak utama seperti Kamal Adli, Puteri Aisyah, Fikry Ibrahim dan Zulin Aziz selain penampilan istimewa Datuk Jalaluddin Hassan bersama aktivis NGO, Yusuf Azmi dan Penerbit Eksekutif “Dato” S, Datuk Khairil Muzamil.

Memegang watak utama sebagai Sazali, Kamal Adli berjaya menjiwai watak tersebut dengan cemerlang dengan menjadi seorang jurujual yang mempunyai perwatakan menarik serta berkeyakinan tinggi.

Menerusi kelebihan itu, Sazali kerap menipu orang ramai dengan pelbagai akvititi scammer seperti skim cepat kaya, menawarkan pakej-pakej istimewa untuk menunaikan umrah dan haji, pakej ibadah korban, pertandingan gores dan menang, penjualan tanah, penipuan online, skim pelaburan mata wang bitcon dan banyak lagi.

Dia juga berjaya memperdayakan ramai ahli perniagaan, di mana mereka telah membuat pelaburan yang tinggi dan pada usia pertengahan 30-an, dia menjadi jutawan dan hidup senang.

Namun begitu, setiap aktiviti yang dijalankan Sazali mendapat tentangan daripada isterinya (lakonan Zulin Aziz) sehingga membuatkan isteri dan anaknya meninggalkannya yang hanyut dalam dunianya.

Aktiviti penipuan Sazali mendapat perhatian pihak polis sehinggakan dia diekori dua anggota polis iaitu Arman dan Bunga (lakonan Fikry Ibrahim dan Puteri Aisyah) yang menyamar untuk memerangkap Sazali.

Bagaimanakah kesudahan nasib conman tersebut dan apakah sebenarnya kaitan Arman dengan Sazali?

Saksikan filem televisyen ini yang kini boleh dilanggan Astro First Eksklusif pada harga RM15.

 

Foto: Astro & Azrul Rafie

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

“Dato” S menampilkan pendekatan yang berbeza dan cukup berani apabila mengangkat isu-isu semasa yang membimbangkan dan kian berleluasa dalam kalangan masyarakat pada hari ini, terutamanya berkaitan dengan penipuan duit haram, scammer, penyamaran dan sebagainya.