Dayang Nurfaizah Masih Unggul Selepas Dua Dekad

Dalam dunia seni hiburan yang penuh dengan pelbagai cabaran serta ujian, tidak ramai bintang yang mampu bertahan dan kekal relevan dengan perubahan terkini. Senario ini sama di merata dunia, termasuklah di Malaysia, tanah air kita sendiri.

Namun dalam menelusuri perubahan zaman yang berlaku, ada beberapa seniman dan seniwati negara yang mampu mempertahankan kedudukan mereka. Salah seorang yang dimaksudkan adalah penyanyi popular Dayang Nurfaizah. Biarpun dimamah usia, kemilau bintang vokalis luar biasa ini seolah-olah terus bersinar tanpa menunjukkan sebarang tanda kemalapan.

Bertatih di usia 16 tahun selepas menjuarai sebuah pertandingan nyanyian televisyen 20 tahun yang lalu, nama Dayang Nurfaizah kini tersenarai sebagai salah seorang penyanyi paling berprestij di Malaysia. Dan pada tanggal 21 Julai 2019, sehari selepas meraikan ulangtahunnya yang ke-38, Dayang sekali lagi membuktikan kehebatannya di pentas kala menghiburkan para peminatnya di Istana Budaya bersempena dengan Konsert Khas ‘Dayang Dua Dekad’ anjuran Shiraz Projects yang meraikan pembabitannya dalam industri hiburan tanah air sepanjang tempoh tersebut.

Seperti yang dijangka ramai, Dayang sama sekali tidak menghampakan para peminatnya dan memberikan yang terbaik dari awal persembahan sehinggalah penutup acara. Membuka tirai konsert dengan lagu ‘Tak Pernah Menyerah’, seolah-olah menggambarkan keutuhan Dayang yang sama sekali tidak pernah menyerah kepada keadaan sekitar yang kadangkala agak mencabar dirinya sepanjang bergelar anak seni.

Ini diikuti dengan lagu berhantu ‘Seandainya Masih Ada Cinta’ yang mendapat sorakan gemuruh para penonton. Malah nyanyian lagu tersebut yang pernah meletakkan Dayang di satu tahap tersendiri diiringi nyanyian para penonton segenap auditorium Istana Budaya.

Sekitar dua jam lebih Dayang membawa para peminat setianya mengimbau kenangan lewat beberapa lagu popularnya yang pernah dirakam sepanjang dua puluh tahun. Kebanyakan lagu-lagunya yang berentak Pop R & B juga telah meletakkan Dayang sebagai pejuang lagu-lagu berentak sedemikian dan mendapat jolokan Ratu R & B Malaysia. Dari lagu-lagu yang pernah tercalon untuk anugerah-anugerah hebat seperti ‘Erti Hidup’, ‘Di Pintu Syurga’, ‘Haram’ (bersama rakan duet Hael Husaini) dan seumpanya sehinggalah lagu-lagu popularnya yang lain termasuk ‘Hakikat Cinta’, ‘Pintaku Terakhir’ dan banyak lagi, semuanya Dayang sampaikan dengan penuh perasaan sambil di selang-selikan dengan perbualan serta gurauan manja bersama peminat.

Setelah dua puluh tahun menjadikan pentas nyanyian sebagai punca rezekinya, Dayang terlihat sangat profesional dan tidak kekok sama sekali berceloteh di atas pentas sambil menghiburkan para peminatnya.

Istimewa kali ini Dayang turut mendedikasikan sebuah segmen khas dengan menyampaikan beberapa lagu klasik yang pernah dipopularkan oleh Seniwati Saloma dan juga Nona Asiah seperti ‘Sejak Ku Bertemu Pada Mu’ , ‘Jangan Tenung-Tenung’, ‘Jalan Bersama’ serta ‘Bunga Anggerik’ .

“Dayang memang sudah lama hendak menyanyikan lagu-lagu ini dan memperkenalkan kepada peminat-peminat Dayang. Dayang mahu mereka tahu betapa indahnya lagu-lagu zaman dahulu kerana dayang sendiri sangat meminati lagu-lagu seperti ini,” ujar Dayang ketika ditemui di sidang media selepas konsert.

Yang pasti, setiap sen yang dibayar untuk membeli tiket konsert Dayang Dua Dekad sangat berbaloi kerana Dayang berjaya membawa para peminatnya menyelami perasaan dan pengalaman masing-masing lewat lagu-lagunya yang pernah dan masih dimainkan di corong-corong radio hingga ke hari ini.

Malah Dayang juga sempat mendendangkan lagu terbarunya ciptaan Faizal Tahir yang berjudul ‘Sebentar’. Lagu rancak tersebut yang sarat dengan pesanan positif disampaikan di bahagian penghujung konsert sebelum beberapa lagu lain.

Sudah tentu tidak ditinggalkan adalah nyanyian lagu ‘Lelaki Teragung’ serta ‘Dayang Sayang Kamu’ sebagai penutup acara.

Syabas kami ucapkan kepada Dayang Nurfaizah di atas kejayaan konsert ini dan lebih penting lagi, di atas dedikasinya dalam berkarya sepanjang dua dekad. Kami di SalamToday sentiasa setia menantikan perkembangan terbaru anda! Moga bintang mu terus bersinar untuk tahun-tahun yang mendatang.

 

Gambar Ihsan : echolaliapictures dan Shiraz Projects