‘Death Whisper’ Rungkai Misteri Kematian Mangsa Buli

Bagi peminat filem seram dari Korea, pasti anda pernah menonton atau mendengar mengenai sebuah filem berjudul Whispering Corridors yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.

Filem yang diterbitkan pada tahun 1998 itu kini diadaptasi dan dihasilkan semula ke sebuah filem Indonesia yang bertajuk Death Whisper yang kini sedang ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 22 Ogos 2019.

Masih mengekalkan tema yang sama iaitu gejala buli di sekolah, filem arahan Awi Suryadi itu bukan sahaja membuatkan degupan jantung penonton tidak berhenti berdegup kencang, malahan mampu meruntun perasaan simpati dan menyayat hati pada penghujung cerita.

Menceritakan tentang seorang pelajar yang bernama Alex (Angga Aldi), yang diterima masuk ke sebuah sekolah tinggi terkemuka di Indonesia, ‘Abdi Bangsa’, dia sedikit pun tidak berasa teruja dan bangga bergelar pelajar sekolah tersebut.

Sebaliknya, Alex berasa bimbang menjadi mangsa buli para pelajar senior memandangkan sekolah tersebut terkenal dengan tradisi ‘senior-junior’ dan gejala buli-membuli sehinggkan ada yang pernah terbunuh.

Seperti yang dijangka, Alex menjadi mangsa buli tiga orang senior iaitu Andre (Aarya Vasco), Erika (Naomi Paulinda) dan Fahri (Teuku Rizki).

Meskipun sering dibuli, kehidupan Alex sedikit terubat dan gembira dengan kehadiran seorang lagi pelajar junior iaitu Maggie (Amanda Rawles) yang secara perlahan-lahan menjadi rapat dan mesra dengan Alex.

Sehinggalah pada suatu hari, sekolah Abdi Bangsa mula menjadi kacau-bilau apabila Andre, Erika dan Fahri memaksa Alex untuk bermain permainan ‘memanggil roh’ dengan mereka apabila mereka mendapat tahu bahawa arwah ayah Alex merupakan seorang ahli psikik yang boleh berkomunikasi dengan roh.

Satu demi satu kejadian misteri dan pembunuhan berlaku di sekolah tersebut. Lebih menjadi tanda tanya adalah, sesiapa sahaja yang menyakiti Alex pasti akan mati secara ngeri dan misteri.

Apakah kaitan Alex dengan semua kejadian seram dan kematian yang berlaku di sekolah tersebut, dan adakah Alex benar-benar boleh berbicara dengan roh-roh di sekolah itu?

Jika anda ingin merungkai misteri tersebut, jangan lupa saksikan Death Whisper di pawagam-pawagam berhampiran anda sekarang.

Foto: TGV Pictures

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Masih mengekalkan tema yang sama iaitu gejala buli di sekolah, filem arahan Awi Suryadi itu bukan sahaja membuatkan degupan jantung penonton tidak berhenti berdegup kencang, malahan mampu meruntun perasaan simpati dan menyayat hati pada penghujung cerita.