Demi Masa. Sesungguhnya Manusia Kerugian.

Dalam sehari, kita mempunyai masa selama 24 jam.

Daripada tempoh tersebut, kebiasannya seseorang itu mengambil masa selama enam ke tujuh jam untuk tidur dengan selebihnya dihabiskan untuk pelbagai urusan lain.

Ia termasuk urusan kerja, keluarga, diri sendiri dan yang paling penting adalah urusan dengan Allah S.W.T.

Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri bahawa adakah masa seharian kita telah diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah?

Atau setiap hari, kita hanya membuang masa dengan pelbagai perkara yang merugikan yang kemudiannya diulang-ulang pula saban hari.

Pasti kita pernah mendengar firman Allah daripada surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Dalam kehidupan manusia di dunia ini, terdapat dua golongan seperti yang disebut dalam ayat ini.

Ia adalah golongan manusia yang kerugian serta golongan yang beriman dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan sabar.

Antara contoh yang boleh dijadikan perbandingan adalah kehidupan seharian individu yang pulang dari bekerja selepas tamatnya waktu pejabat.

Sebaik tiba di rumah, kebiasannya mereka ini akan berehat, menonton televisyen, menyiram pokok, bermain dengan haiwan peliharaan atau minum petang.

Dan perbandingan paling nyata yang dapat dilihat pada dua golongan ini adalah:

  1. Yang bersiap untuk ke masjid serta mengajak anak, isteri dan kaum keluarga untuk sama-sama menuju ke rumah Allah bagi mengimarahkannya.
  2. Ada yang terus berada di rumah. Walaupun mereka melaksanakan solat Maghrib, namun mereka memilih untuk berehat sambil menonton televisyen, melayan laman-laman media sosial sehingga jam 11 malam dan kemudiannya tidur.

Penulis pasti contoh kedua ini sebenarnya banyak dilakukan oleh kita, termasuk penulis sendiri.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, mereka yang pergi ke masjid dengan membawa anak dan isteri untuk bersolat, mendengar kuliah agama, bersedekah di tabung masjid dan pulang, itulah orang yang berjaya membentuk diri, anak, isteri dan keluarganya.

Sekurang-kurangnya, sesibuk manapun dia di siang hari dengan tugasan rasmi, namun pada malam hari dia ‘mewakafkan’ sejuzuk dari masanya untuk ke rumah Allah.

Ini kerana rumah itulah yang menjadi ‘baiti jannati’ iaitu rumahku syurgaku, di mana dia akan merasai kemanisan hidup, berasa damai serta sinar kebahagian yang bertapak dalam hidupnya.

Justeru, kita mempunyai dua pilihan untuk menjadi orang yang berjaya iaitu dengan:

  1. Menyusun masa.
  2. Melakukan perkara yang berfaedah.
  3. Menambahkan produktiviti.
  4. Muhasabah diri.
  5. Sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik.
  6. Membetulkan niat.

Atau kita bebas memilih cara yang kedua iaitu:

  1. Masih di takuk lama.
  2. Membazir masa.
  3. Tiada perubahan sikap.
  4. Tidak memahami matlamat hidup.
  5. Tiada usaha melakukan perubahan.

Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”- (Surah Al-Ra’d, ayat 11)

 

Rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Andrey Grushnikov, Eugene Shelestov, Moose Photos, Samer Daboul & Breakingpic (Pexels)