Dendam itu penyakit hati

Iman Hanita Hassan 06-Nov-2020
dreamstime_s_49504058
Dendam itu penyakit hati © Cristian Gabriel Kerekes | Dreamstime.com

Sifat bagi orang bertakwa adalah mudah memaafkan orang lain.  Amalan ini besar nilainya di sisi Allah SWT kerana perjuangan untuk menundukkan hawa nafsu bukan mudah. Allah berfirman yang maksudnya:

“Dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang.  Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik.”

(Surah al-Imran, ayat 134)

Dendam merosak hati dan perasaan

Dendam tidak akan membawa kita ke mana.  Ia hanya akan merosakkan hati dan perasaan orang yang berdendam dan orang yang didendam.  Dendam hadir daripada perasaan benci atau marah yang terpendam secara rahsia atau daripada hasad dengki atau tidak puas hati.

Mengikut kajian psikologi, api amarah yang wujud dalam hati cuma kekal dalam tempoh empat setengah minit sahaja.  Namun sekiranya ia berpanjangan lebih daripada empat setengah minit iaitu satu jam, dua hari, dua bulan atau lebih lama,  ia dikategori sebagai dendam iaitu marah dan sakit hati yang berpanjangan.

Dalam Islam berdendam adalah berdosa.  Sekiranya terdetik dalam hati rasa marah, tidak puas dengan orang lain, cuba amalkan bacaan zikir berikut:  ‘Hasbunallah wa ni’mal wakil’ yang maksudnya “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami.)”.

Rasulullah SAW sangat terkenal dengan akhlak dan sifat Baginda yang mudah memaafkan. Ia dibuktikan ketika awal berdakwah.  Baginda dilempar dengan batu serta kotoran oleh orang-orang kafir Quraisy.

Namun, semua itu Nabi Muhammad SAW balas dengan mendoakan mereka. ‘Ya Allah, berilah mereka petunjuk kerana sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang tidak tahu.’

Betapa biadap sekali pun sikap mereka, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menghiraukannya. Baginda tidak menyimpan perasaan dendam, benci, jauh sekali membalas dendam.

Murnikan hati, sucikan jiwa dan perbanyak solat taubat

Ketika Perang Uhud, meskipun pihak kafir Quraisy bertindak kejam terhadap mayat bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Hamzah bin Abu Mutalib. Namun, Baginda tidak  membalas dengan melakukan perkara yang sama ke atas mayat kaum kafir Quraisy.

Amat merugikan jika anda membiarkan perasaan dendam berlama-lama dalam hati yang mengakibatkan retak atau putus silaturahim. Seharusnya anda mengambil langkah pertama memohon maaf.  Siapa yang salah dan betul itu diketepikan demi perdamaian.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain.  Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Banyak sebab yang menjadi punca kepada dendam. Mungkin anda dianiaya rakan sekerja yang mahu mendapat pujian daripada bos. Apabila hati anda terluka, maka akan timbullah dendam dalam diri. Hanya kerana anda tidak memaafkan, ia bertukar menjadi amarah dendam dari hati yang kotor dan jiwa yang gelap.

Semua ini boleh dirawat dengan murnikan hati, sucikan jiwa dan perbanyak solat taubat.  Anda perlu mencari hikmah di sebalik setiap kejadian.  Justeru, mintalah pertolongan Allah banyak-banyak.  Jangan cepat berkecil hati.  Berfikirlah secara positif.

Biarlah Allah SWT sahaja membalas setiap kezaliman orang ke atas diri kita.  Belajarlah mendidik hati supaya sentiasa memaafkan orang lain.  Semoga dengan memaafkan ini memberi ketenangan dalam hati dan hidup kita serta orang sekeliling.