DHES Berjaya Kumpul 500 Tan Minyak Masak Terpakai

Sejak memperkenalkan program belian semula minyak masak terpakai pada tahun 2014, DRB-Hicom Environmental Service (DHES), anak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora) telah berjaya mengutip sebanyak 500 tan minyak masak terpakai di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan juga Lembah Klang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, YBhg. Dato. Hj. Mohd Zain bin Hj. Hassan, hasil daripada kesedaran orang ramai terhadap kelestarian alam sekitar dan janaan pendapatan melalui ganjaran tunai hasil daripada penjualan minyak masak terpakai iaitu RM1.10 sekilogram, jumlah kutipan pada tahun ini sahaja (Januari-Ogos 2019), telah mencecah 90 tan melalui penjualan di Pusat Belian Semula Barangan Kitar Semula (Buy Back Centre) dan 3R ON WHEELS (3ROW).

“Bermula tahun ini, Alam Flora dan DHES, giat menjalankan program-program kesedaran awam melalui kaedah roving bersama-sama 3ROW, yang bukan sahaja mempromosi dan membeli semula minyak masak terpakai. Malah 3ROW juga membeli semula semua jenis bahan yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, tin aluminium dan juga e-waste,” jelas Dato. Mohd Zain Hassan.

Antara program yang dilaksanakan termasuk CYBER ECO HUNT 2019 anjuran DHES dan Alam Flora, yang disertai oleh 30 orang key opinion leader (KOL), influencer dan penulis blog baru-baru ini.

Mohd Zain berkata, informasi tentang penjagaan kebersihan dan alam sekitar melalui media sosial, memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang pantas dan tepat untuk digunakan dalam aktiviti seharian.

Di atas tujuan itu, pengaruh rangkaian komuniti sosial seperti KOL, influencer serta penulis-penulis blog dimanfaatkan melalui program CYBER ECO HUNT 2019 yang mengetengahkan isu-isu kelestarian alam sekitar, kempen-kempen dan jenis-jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh DHES dan Alam Flora.

“Diharapkan pengaruh daripada komuniti ini, dapat membuka mata dan meningkatkan lagi kesedaran netizen-netizen bagi menyebarkan atau viral mesej-mesej di dalam dunia siber, demi kelangsungan kelestarian alam sekitar dan masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita nanti,” ujar Mohd Zain.

Foto : BRIDGE & BROADLY RESOURCES