Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Kehidupan Chan Abdullah 21-Jun-2020
Wan Nur Elisa © infosebenar.com

Satu kisah yang memberi inspirasi kepada masyarakat telah berlaku pada awal bulan ini. Ia menarik perhatian masyarakat dan kisah ini telah tular dan melibatkan seorang gadis yang bernama Wan Nur Elisa Adreena Wan Jusoh, 24 tahun.

Wan Nur Elisa adalah seorang graduan yang menjalankan servis mengutip sampah di kawasan kediamannya hanya pada harga RM1 ringgit sahaja. Beliau adalah seorang pemegang ijazah sarjana muda seni bina dan berkhidmat sebagai pereka tudung. Namun di dalam kemelut ekonomi negara akibat wabak pandemik COVID-19, beliau akhirnya diberhentikan kerja.

Tidak mahu mengalah dan mengeluh, beliau mendapat ilham untuk menjalankan khidmat memungut sampah di pangsapuri kediamannya di Apartmen Cempaka Sari, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Sementara menunggu peluang pekerjaan yang baharu, beliau menjalankan khidmat memungut sampah dari rumah ke rumah.

Menurut beliau, ini adalah cara beliau berbakti di samping menghasilkan pendapatan secara alternatif. Ilham untuk menghasilkan khidmat memungut sampah ini datang dari rakannya yang  menjalankan infak kuih pelita kepada penduduk yang memerlukan.

Tahniah diucapkan kepada Wan Nur Elisa yang tidak malu berbakti kepada penduduk pangsapuri di tempat beliau sambil menjana pendapatan.

Beberapa hari lepas pula, juga telah tular kisah seorang gadis dari negeri Sabah yang bermalam di atas pokok hanya kerana ingin menjawab soalan peperiksaan dalam talian. Kisah gadis tersebut mendapat liputan meluas pelbagai media cetak, media elektronik dan juga media sosial.

Veveonah Mosibin, 18, merupakan pelajar jurusan Asasi Sains telah  memuat naik video pengalaman dilaluinya. Beliau telah memuat naik video tersebut menerusi saluran YouTube miliknya dengan tajuk 24 Hours On Tree Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok).

Video berdurasi 11 minit 21 saat itu memaparkan kisah Veveonah yang terpaksa memanjat pokok. Beliau terpaksa berbuat demikian untuk mendapatkan capaian internet yang baik dan stabil sepanjang peperiksaan dalam talian.

Pengalaman beliau bukanlah sesuatu yang manis kerana terpaksa berdepan dengan kegelapan dan kesejukan secara berseorangan di dalam hutan. Sudah pasti ramai yang belum tentu mampu untuk melakukan apa yang telah dilakukan oleh gadis ini.

Berkat kesungguhan dan kecekalan beliau, akhirnya beliau berjaya menghabiskan peperiksaan dalam talian. Kegigihan beliau telah mendapat perhatian dari warga pendidik dan pelbagai pihak yang lain.

Veveonah Mosibin telah membuktikan kebenaran pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kisah dua orang gadis ini berjaya menginspirasikan ramai rakyat Malaysia. Syabas diucapkan kepada kedua-dua orang gadis muda ini. Betullah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.