Di sebalik Laut Mati

Timur Tengah Hanita Hassan
Hanita Hassan
Di sebalik Laut Mati
Di sebalik Laut Mati © Nat Th | Dreamstime.com

Laut Mati merupakan sebuah tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat, Palestin.  Ia bukanlah lautan tetapi tasik air masin yang mempunyai kedalaman 330 meter.  Pantainya di kedudukan serendah 418 meter di bawah aras laut.

Istimewanya Laut Mati mempunyai air yang sangat masin iaitu kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan 33.7 peratus.

Di sebalik Laut Mati

Kemasinan Laut Mati adalah lebih lapan kali masin daripada air laut biasa.  Tiada hidupan yang mampu hidup di laut ini.  Sekiranya anda berpeluang berkunjung dan mandi di sini, badan anda akan terapung-apung dan tidak tenggelam.  Ia berlaku kerana kepekatan garam yang tinggi didalam airnya.

Kawasan ini telah dijadikan tempat pelancongan sebagai memberi peluang umat Islam mahupun bukan Islam berkunjung dan melihat bala yang menimpa kaum terbabit.   Pengunjung juga boleh menikmati rasa air garam Laut Mati yang mempunyai ketumpatan yang tinggi.

Air di Laut Mati ini mampu mengubati penyakit terutama sakit kulit.  Lumpurnya boleh dilulur di badan.  Pelbagai kemudahan kepada pengunjung disediakan oleh kerajaan Jordan dan ia cukup selesa.  Terdapat restoran, ruang solat, kedai cenderahati serta tandas yang tersusun rapi.

Laut Mati mengingatkan kita betapa hebatnya kuasa Allah SWT.  Dia telah menukarkan sebuah perkampungan golongan songsang sehingga menjadi sebuah tasik.  Tasik itu ialah Laut Mati yang sangat luas seumpama sebuah lautan.

Laut Mati adalah bukti bala yang diturunkan Allah SWT terhadap Kaum Nabi Luth a.s akibat melawan perintah-Nya. Ia telah melenyapkan seluruh kaum tersebut, sebuah negeri dan peradaban.  Kaum yang dimaksudkan ialah penduduk Sodom dan Amurah.

Tempat di mana azab-Nya adalah nyata

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka ketika datang azab Kami, Kami balikkan negeri itu, bahagian atas menjadi bahagian bawah, dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi yang (batu-batu itu) ditandakan (diarahkan) oleh Tuhanmu dan ia tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu.”

(Surah Hud, ayat 82-83)

Semua kisah yang terdapat dalam al-Quran ini sebagai pengajaran bagi kita sebagai umat Islam supaya tidak melanggar hukum yang ditetapkan Allah SWT.  Mudah-mudahan kita terhindar daripada perbuatan seperti yang dilakukan oleh Kaum Sodom yang melakukan perbuatan keji mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu.

Kita berdoa semoga dapat melalui semua ujian yang diberikan Allah SWT dalam kehidupan ini dengan baik, sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Allah dan tidak membuat maksiat.  Kita tidak mahu menjadi seperti Kaum Sodom.  Tasik Mati adalah tempat di mana azab-Nya adalah nyata.

Justeru sementara kita diberi waktu, bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT, berazam tidak mengulangi segala perbuatan maksiat yang lalu.  Sesungguhnya pintu taubat terbuka luas dan Allah Maha Pengampun. Hanya Dia sahaja yang tahu keikhlasan dan kesungguhan dalam hati kita.

Sesungguhnya perasaan insaf yang hadir dalam jiwa seseorang yang bertaubat juga bukan perkara yang diada-adakan.  Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.