Diam untuk berkata atau berkata untuk diam?

Kehidupan Hagnas 19-Ogo-2020
Diam untuk berkata atau berkata untuk diam? © Palinchak | Dreamstime.com

“Kepala letak kat lutut ke?”

“Boleh diam tak, asyik membebel je, serabut tau tak!”

“Tolonglah berambus!”

Wow. Mungkin anda pernah dengar dialog-dialog sebegini. Seringkali berlaku apabila kita sedang marah, emosi kurang stabil, atau sedang sibuk menyiapkan tugasan. Atau mungkin sewaktu sedang tertekan, kita akan mudah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.

Bila kita dalam keadaan tertekan, orang sekeliling mudah menjadi sasaran kemarahan kita. Walaupun orang yang di sekeliling kita itu rakan yang kita hormati, rakan sekerja, mahupun ahli keluarga yang kita sayangi.

Ingin sahaja kita berkata sesuatu, dengan kata yang mungkin kurang enak, untuk mendiamkan orang di sekeliling kita, anak-anak kita atau rakan-rakan kita semata-mata untuk menenangkan atau memuaskan diri kita.

Walaupun sebenarnya jauh di sudut hati yang paling dalam, kita tidak pun mendapat ketenangan dengan tingkah laku itu. Malah mungkin masalah kita bertambah dengan gaya interaksi sebegini.

Sewajarnya didiklah diri kita sendiri untuk diam terlebih dahulu sambil memikirkan kata yang sesuai dan baik sewaktu berinteraksi dengan orang-orang di sekeliling kita, sebelum mendiamkan mereka dengan kata-kata kita yang kurang enak bagi mereka.

Hiasilah diri kita dengan kata-kata yang baik. Berfikirlah sebelum menuturkan kata-kata demi mendidik diri dan keluarga kita. Jauhilah kata-kata yang mengaibkan manusia, menghina mereka, atau seumpamanya.

Hayatilah pesan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Bukanlah seorang mukmin (yang sempurna) itu orang yang suka mengaibkan, dan bukan yang suka melaknat, dan bukan yang suka berbuat keji, dan bukan yang tidak tahu malu.”(Hadis riwayat Imam At-Tirmidzi)

Semestinya, hadis ini merupakan satu teknik komunikasi yang sangat perlu diamalkan dalam membina hubungan yang baik dengan masyarakat. Bila komunikasi baik berjalan lancar, masyarakat akan hidup dengan harmoni.

Jom, tepuk dada tanya iman. Kita diam untuk berkata atau berkata untuk diam?