Diet Telur Rebus Untuk Kurus

30235304 - eggs

Pernah dengar tentang diet ini? Pasti ada yang pernah mencuba dan tahu akan kesannya. Diet telur rebus ini dikatakan mampu meningkatkan metabolisme tubuh dan membakar lemak dengan cepat.

Malah, berat badan juga tidak akan naik mendadak jika meninggalkan diet ini. Dengan syarat amalkan gaya pemakanan sihat.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Rochester Center for Obesity Research di Michigan, USA, pengambilan telur rebus ketika sarapan pagi mampu mengawal pengambilan kalori harian seseorang individu.

Cara terbaik untuk menikmati telur untuk sarapan ialah dengan merebus. Jika anda pilih untuk menggoreng, jumlah kalori pada telur akan berubah (bertambah).

Sebiji besar telur rebus (50 gram) mengandungi kira-kira 72 kalori. Paling penting, jangan ambil lebih 2 biji telur rebus ketika sarapan. Jika makan berlebihan, hasrat anda untuk melangsingkan badan tidak akan tercapai.

Selain makan telur rebus, anda juga perlu bijak memilih makanan untuk sepanjang hari. Pilih menu kaya serat dan vitamin, serta minum air kosong secukupnya. Lebih banyak air kosong yang diminum, lebih bagus sistem pencernaan anda.

Hendak tahu cara untuk melakukan diet telur rebus? Sebenarnya jika anda cari info di internet, terdapat banyak versi yang dicadangkan.

Jika anda biasa dengan Diet Atkins, diet telur rebus ini pasti tidak sukar. Ini kerana tujuan diet telur rebus adalah untuk mengurangkan pengambilan karbohidrat dalam diet harian.

Sebaliknya, melebihkan pengambilan protein. Selain mengambil telur rebus, perlu juga mengambil protein daripada sumber lain seperti ayam, ikan dan susu.

Ketika bersarapan, makan dua biji telur dengan kombinasi sayuran rendah karbohidrat dan juga sumber protein tanpa lemak yang lain seperti susu, dada ayam atau ikan.

Untuk hidangan tengah hari, makan 2 biji telur rebus dengan dada ayam atau ikan. Manakala untuk makan malam, hanya makan sebiji telur rebus dengan dada ayam atau ikan.

Jika perut terasa lapar di antara waktu makan, boleh ambil sayur-sayuran rendah karbohidrat sebagai snek.

Buah-buahan juga dibenarkan, tetapi tidak boleh lebih daripada dua hidangan dalam sehari. Karbohidrat seperti roti, pasta, kentang dan juga nasi sangatlah tidak dicadangkan.

 

Mesti buat ketika melakukan diet telur rebus:

  1. Minum air kosong secukupnya atau lebih (minimum 8-10 gelas) setiap hari.
  2. Kurangkan pengambilan garam dan gula.
  3. Elak minuman dan makanan manis seperti kek, coklat dan juga aiskrim.
  4. Lakukan senaman ringan selama 30 minit setiap hari.

Rujukan : www.healthline.com; www.lifestyleupdated.com; www.verywellfit.com

Kredit foto : 123rf