Dilarang mengambil nyawa

Islam Hanita Hassan
dreamstime_s_92872439
Dilarang mengambil nyawa © - Dreamstime.com

Nyawa adalah suatu anugerah Allah SWT yang suci.  Kita tidak boleh dan dilarang mengambil nyawa manusia lain kerana ia dianggap jenayah, apatah lagi mengambil nyawa sendiri. Mengikut Kamus Dewan, mengambil nyawa sendiri dengan sengaja ditakrifkan sebagai bunuh diri.

Insiden bunuh diri seperti menembak diri, minum racun, terjun bangunan, membakar diri dan sebagainya berlaku hari ini disebabkan kemelut dan tekanan kehidupan, kecewa dan sebagainya.

Bunuh diri antara 10 sebab utama kematian dunia

Fenomena bunuh diri bukan sahaja berlaku di negara mundur atau sedang membangun, tetapi juga negara maju seperti Amerika dan Jepun.  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kes bunuh diri antara 10 penyebab utama kematian di dunia.

Punca kedua kematian adalah dalam kalangan remaja dan belia berusia di antara 15 hingga 29 tahun.  Di Malaysia, ia sudah pun berlaku tetapi masih kecil bilangannya. Jika kita teliti sebab kepada gejala ini ada pelbagai.  Antaranya kerana pengalaman putus cinta khususnya remaja.

Kecewa dalam peperiksaan, tekanan keluarga miskin, perceraian ibu bapa, hilang pekerjaan, pelaburan merudum, ditipu rakan seperniagaan dan sebagainya. Pegangan agama yang rapuh serta iman yang tidak kukuh juga mendorong orang Islam terjebak melakukannya.

Tidak dinafikan konflik peperangan, keganasan, ancaman penyakit dan kebuluran juga memberi kesan kepada mereka yang mengalaminya. Sehingga sukar mengawal perasaan, sedih, marah, benci sehingga timbul keputusan menamatkan riwayat hidup sebagai jalan pintas.

Stigma masyarakat yang masih menebal mengaitkan kemurungan sebagai penyakit gila. Sedangkan ia adalah penyakit mental yang memerlukan rawatan segera sebelum bertambah parah.

Bunuh diri adalah dosa besar kerana adanya ancaman khusus baginya.  Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 6047 dan Muslim, 110)

Dilarang mengambil nyawa

Larangan mengambil nyawa sendiri dan orang lain ternukil dalam al-Quran sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah, ayat 195)

Allah SWT juga berfirman dalam al-quran yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.  Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas.  Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”

(Surah al-Isra’, ayat 33)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa haram membunuh jiwa termasuk diri sendiri. Ramai kalangan ulama berpendapat bahawa membunuh diri adalah haram dan termasuk dalam dosa besar.  Mereka memasukkan dalam kitab masing-masing bahawa membunuh diri termasuk salah satu dosa besar.

Justeru jauhilah diri daripada berfikir atau berniat untuk melakukan perbuatan yang dilarang dan bertentangan dengan perintah Allah SWT ini. Semoga kita dirahmati Allah serta sentiasa tenang menghadapi apa jua cabaran kehidupan ini.