Dive Bahrain Tawar Pengalaman Menyelam Dengan Pesawat Dan Hidupan Marin

Bagi penggemar aktiviti menyelam, kebiasaannya anda akan melepaskan ‘ketagihan’ anda itu di sekitar pantai-pantai seperti di Pulau Redang, Pulau Perhentian atau Pulau Sipadan.

Lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara itu sememangnya menawarkan pemandangan hidupan dasar laut yang indah dan mengasyikkan, yang pastinya memberikan kepuasan buat para penyelam.

Namun, pernahkan anda terfikir untuk mencuba menyelam ke dasar laut yang mempunyai bangkai pesawat yang masih elok keadaannya, dan anda boleh masuk meneroka ke dalam badan pesawat tersebut?

Jika anda seorang penyelam yang suka akan cabaran dan ingin meluaskan lagi pengalaman menyelam anda, apa kata anda berkunjung ke Dive Bahrain, sebuah taman tema dasar laut terbesar di dunia.

Kini dibuka untuk penggemar aktiviti menyelam, Dive Bahrain merangkumi kawasan seluas 100,000 meter persegi yang lengkap dengan sebuah pesawat Boeing 747.

Pesawat sepanjang 70 meter yang tidak lagi berfungsi dan ditenggelamkan dengan sengaja itu menjadi tarikan utama bagi lokasi yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain tersebut.

Sebuah Taman Mesra Alam Semulajadi

Dive Bahrain dibuka bertujuan bagi memberi peluang kepada para pelawat untuk menikmati pengalaman menyelam yang unik dalam kawasan yang luas.

Selain Boeing 747, taman tema dasar laut yang baru dibuka itu juga akan menampilkan sebuah replika rumah peniaga mutiara tradisional Bahrain yang diselia oleh Diyar Al Muharraq, terumbu karang buatan dan arca-arca lain yang akan difabrikasi serta ditenggelamkan.

Ia adalah bagi menyediakan tempat perlindungan yang selamat untuk pertumbuhan terumbu karang dan memastikan kelestarian habitat hidupan marin.

Taman mesra alam itu juga akan menyediakan sumber maklumat berkaitan ekologi marin, dan akan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara hidupan marin.

Projek bertaraf dunia tersebut dibangunkan dengan kerjasama erat antara Lembaga Pelancongan dan Pameran Bahrain (BTEA) dan Majlis Tertinggi Alam Sekitar (SCE).

Ia membentuk sebahagian daripada strategi BTEA untuk meningkatkan pelancongan serta mempromosikan lagi sektor penting itu dengan lebih memanfaatkan aset-aset semula jadi kerajaan.

Selain itu, Dive Bahrain dijangka memperoleh pengiktirafan global dan menjadi tarikan pelancong antarabangsa, disebabkan saiz dan lokasinya serta pengalaman unik yang akan ditawarkan kepada para pelancong dan penggemar-penggemar aktiviti menyelam.

Sejak kejayaan penenggelamannya, penyelam-penyelam profesional dari pusat-pusat menyelam berdaftar telah menjalankan pemeriksaan berkala terhadap pesawat penumpang tersebut.

Ia adalah bagi menjamin keselamatan taman itu untuk kedua-dua penyelam profesional dan rekreasi.

Projek mesra alam tersebut akan menyaksikan Bahrain muncul sebagai penggiat utama dalam bidang ekopelancongan dan pemeliharaan hidupan marin dengan menggabungkan piawaian alam sekitar antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut atau menempah pengalaman menyelam dasar laut anda yang seterusnya, anda boleh melayari laman web: www.divebahrain.com.

Foto: PR Newswire & laman web Dive Bahrain

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Selain Boeing 747, taman tema dasar laut yang baru dibuka itu juga akan menampilkan sebuah replika rumah peniaga mutiara tradisional Bahrain yang diselia oleh Diyar Al Muharraq, terumbu karang buatan dan arca-arca lain yang akan difabrikasi serta ditenggelamkan.