Do nothing? Pertanian semula jadi cara Masanobu Fukuoka

Alam Sekitar Hannan
Terkini oleh Hannan
Do nothing? Pertanian semula jadi cara Masanobu Fukuoka
Do nothing? Pertanian semula jadi cara Masanobu Fukuoka © kyotojournal.org

Pernahkah anda dengar mengenai Masanobu Fukuoka? Sosok ini merupakan seorang petani dan ahli filosofi yang amat terkenal di Jepun. Beliau juga merupakan pelopor cara pertanian yang dikenali dengan nama do-nothing farming method.

Beliau telah menulis sebuah buku yang berjudul The One Straw Revolution yang membuktikan bahawa pertanian boleh dijalankan dengan cara yang lebih mudah, atau lebih tepat lagi, dengan kembali kepada apa yang asas.

Cara pertanian Masanobu Fukuoka yang unik

Fukuoka telah memperkenalkan cara pertanian ‘do-nothing’ yang mempunyai 4 prinsip utama iaitu:

1. Tidak melakukan sebarang penanaman

2. Tidak menggunakan baja kimia

3. Tidak melakukan amalan merumput

4. Tidak bergantung kepada bahan kimia

Malah, beliau juga tidak menggunakan sebarang teknologi dan tidak membajak tanah selepas bercucuk tanam. Ramai yang terkejut apabila melihat Fukuoka hanya menabur benih pada tanah dan tidak melakukan penanaman seperti orang lain.

Pada zaman Fukuoka, ramai yang rasa sangsi dengan cara pertanian yang dilakukan oleh beliau. Malah, tidak kurang juga, ada yang menganggap cara ini merupakan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan, lebih-lebih lagi apabila beliau tidak membajak tanah.

Kualiti produk yang baik walau cara pertanian berbeza

Walau bagaimanapun, disebabkan cara pertaniannya yang unik, Fukuoka telah ditemu ramah oleh NHK (satu stesen televisyen di Jepun) mengenai hasil pertaniannya.

Pada waktu itu, Fukuoka telah mengejutkan ramai pihak dengan kualiti produk yang datang dari kebunnya. Disebabkan ramai yang menganggap Fukuoka bertani dengan cara yang kuno, mereka juga menjangkakan hasilnya haruslah sedikit atau tidak berkualiti.

Tetapi, Fukuoka telah berjaya membuktikan bahawa mereka salah dengan mendedahkan ladang beliau mempunyai hasil yang setara dengan ladang lain yang melakukan pertanian moden. Malah, kualitinya juga setanding.

Namun, apa yang berbeza ialah jumlah kerja yang mereka perlu lakukan. Berbanding Fukuoka, petani yang menggunakan cara moden terpaksa membanting tulang sepanjang tahun.

Fukuoka pula boleh duduk sambil menikmati hasil pertaniannya tanpa menggunakan usaha yang banyak.

Selalu berfikir adalah rahsia Fukuoka

Jadi, apakah rahsia Fukuoka sehingga beliau berjaya muncul dengan cara pertanian sebegini? Salah satu sebabnya ialah disebabkan beliau merupakan seorang yang sentiasa berfikir.

Tidak seperti orang lain yang hanya mengikut telunjuk barat, Fukuoka telah menghabiskan masa untuk belajar asas sebenar pertanian.

Dengan cara itu, Fukuoka dapat menjalankan pertanian dengan cara beliau sekarang dan membuktikan kepada semua bahawa teknologi moden dalam pertanian hanyalah sesuatu yang membuang masa.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa cara pertanian ‘do-nothing’ ini bukanlah seperti namanya. Ia memerlukan pengetahuan dan usaha yang berterusan.

Malah, Fukuoka berjaya melakukan semua ini dengan cara ‘berkerjasama’ dengan ladangnya dan bukannya dengan cuba untuk ‘memperbaiki’ tanah melalui cara konvensional.

Beliau juga berjaya membuktikan bahawa pertanian merupakan sesuatu yang boleh dinikmati semua orang. Tidak perlu kerah tulang empat kerat untuk bertani, apa yang penting ialah ilmu di dada dan asas yang kuat.