Doa Mohon Diturunkan Hujan

Ketika ini negara kita serta negara jiran sedang dilanda krisis jerebu yang teruk sehingga mencapai bacaan indeks kualiti udara di tahap yang merbahaya.

Perkara ini dilihat semakin serius sehingga menyebabkan ratusan sekolah ditutup kerana tidak mahu pelajar jatuh sakit akibat menghidu asap jerebu.

Selain daripada memakai topeng untuk mengurangkan kesan asap jerebu kepada sistem pernafasan, ramai daripada kita yang mengharapkan turunnya hujan supaya dapat membantu menghilangkan asap jerebu yang begitu merimaskan.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada doa yang boleh kita amalkan supaya diturunkan hujan.

Pada waktu inilah kita sepatutnya memperbanyakkan amalan membaca doa ini supaya keadaan udara di Malaysia kembali seperti sediakala.

Berikut adalah doa memohon hujan seperti yang telah dikongsikan di laman sesawang rasmi Mufti Wilayah Persekutuan:

 

اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سُقيَا رَحْمَةٍ وَلاَ سُقيَا عَذَاب ٍوَلاَ مَحْقٍ وَلاَ بَلاَءٍ وَلاَ هَدَمٍ وَلاَ غَرْقٍ اللَّهُمَّ عَلَى الظِّرَابِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثاً مُغِيْثا،ً هَنِيْئاً مَرِيْئاً مَرِيْعاً، غَدَقاً مُجَلَّلاً عَاماً، دَائِماً إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ اللَّهُمَّ اسْقِنَا الغَيْثَ وَلاَ تَجْعَلْنَا مِنَ القَانِطِيْنَ اللَّهُمَّ إِنَّ بِالعِبَادِ وَالبِلاَدِ وَالْبَهَائِمِ وَالخَلْقِ مِنَ الجُهْدِ وَالجُوْعِ وَالضَّنْكِ مَا لاَ نَشْكُوْ إِلاَّ إِلَيْكَ اللَّهُمَّ أَنْبِتْ لنَا الزَّرْعَ وَأَدِر لَنَا الضَّرْعَ وَاسْقِنَا مِنْ بَركَاتِ السَّمَاءِ وَأَنْبِتْ لَنَا مِنْ بَركَاتِ الأَرْضِ اللَّهُمَّ وَاكْشِفْ عَنَّا مِنَ البَلاَءِ مَا لاَ يَكْشِفُهُ غَيْركَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ كُنْتَ غَفَّاراً فَأَرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْنَا مِدْرَاراً

Maksudnya:Ya Allah! jadikanlah hujan itu rahmat, bukan azab, bukan kemusnahan bukan bala bukan kehancuran bukan kebanjiran. Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas bukit, kawasan berpasir, kawasan tumbuh-tumbuhan dan kawasan lembah. Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami, bukan di atas kami. Ya Allah! Turunkanlah hujan yang menyelamatkan kami daripada kegetiran. Hujan yang menyegarkan dan menyuburkan, hujan yang turun lebat di merata bumi, hujan yang sentiasa mendatangkan manfaat sehingga hari Kiamat. Ya Allah! Siramilah kami dengan hujan dan janganlah Engkau jadikan kami golongan yang berputus asa.

Ya Allah! Sesungguhnya hamba-hamba-Mu dan negara ini telah didatangi kesukaran,kesempitan hidup dan kelaparan. Kami tidak mengadu melainkan kepada-Mu.

Ya Allah! Tumbuhkanlah tanam-tanaman kami, banyakkanlah susu ternakan kami, turunkanlah kepada kami keberkatan dari langit, dan tumbuhkanlah bagi kami dari bumi tanam-tanaman yang berkat

Hindarkanlah bala bencana daripada kami yang tiada siapa yang boleh menghindarkannya selain-Mu. Ya Allah! Kami memohon ampun kepada-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, maka turunkanlah hujan yang lebat ke atas kami.”

 

اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ ، وَبَهَائِمَكَ ، وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ ، وَأَحْيِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ

Maksudnya: “Ya Allah, turunkanlah hujan pada hamba-Mu, pada haiwan ternak-Mu. Berikanlah keluasan rahmat-Mu dan hidupkanlah negeri-Mu yang mati.”

Riwayat Abu Daud (1176)

 

اللَّهُمَّ أَغِثْنَا ، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا ، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا

Maksudnya: “Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan.”

Riwayat al-Bukhari (1014) dan Muslim (897)

 


Di dalam Islam, ada juga solat khas yang diberi nama Solat Istisqa’. Ia disyariatkan apabila berlaku kemarau. Solat ini sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut, dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/585)

Ibn ‘Abd al-Bar berkata: “Para ulama telah ber‘ijma bahawa keluar beramai-ramai untuk solat Istisqa’ dengan berdoa dan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan ketika musim kemarau dan kekeringan melanda hukumnya adalah sunat, yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW tanpa ada perbezaan pendapat oleh para ulama dalam hal ini.” (Lihat al-Tamhid, 17/172)

Selain daripada menunaikan solat sunat Istisqa’ dan berdoa kepada Allah SWT, jangan lupa, kita sebagai manusia mampu menjalani tanggungjawab kita juga untuk menjaga alam sekitar kita supaya masalah jerebu tahunan ini tidak terjadi lagi. Jangan membakar sampah atau tumbuh-tumbuhan secara terbuka, terutama sekali di kawasan tanah gambut.

Semoga masalah jerebu ini berlalu dengan segera dan kita dikurniakan langit biru indah seperti sediakala.

 

Sumber : muftiwp.gov.my

Foto : Geetanjal Khanna, Unsplash dan Max Rovensky di Unsplash