Doa sewaktu hujan – antara waktu mustajab berdoa

Doa Hanita Hassan
Terkini
Doa sewaktu hujan - antara waktu mustajab berdoa
Doa sewaktu hujan - antara waktu mustajab berdoa © Altinosmanaj | Dreamstime.com

Hujan adalah salah satu waktu mustajab untuk berdoa. Sesungguhnya nikmat hujan ini tidak terjangkau oleh akal fikir kita sebagai manusia biasa.

Hujan diturunkan bukan sahaja untuk membasahi bumi, menyirami tumbuhan dan memberi minuman kepada manusia dan haiwan, ia dicipta untuk hamba-hamba-Nya berdoa supaya dapat dikabulkan.

Hujan antara waktu mustajab berdoa

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata. Dan (ingatlah) bahawa Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya) lagi Yang Maha Terpuji.”

(Surah al-Syura, ayat 28)

Allah SWT menurunkan hujan beserta dengan rezeki dan rahmat kepada hamba-Nya yang taat dan tidak pernah putus asa untuk berdoa.  Sewaktu hujan kita disunatkan untuk berdoa.

Ia adalah amalan untuk menambah kebaikan dan keberkatan dan menolak perkara yang boleh memberi mudarat (Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalni, Fath al-Bari, 518/2).

Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Dua doa yang tidak akan ditolak. Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.”

(Hadis riwayat al-Hakim, 2534. Sanadnya sahih tapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Doa adalah senjata orang mukmin.  Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharap pertolongan dan bantuan daripada-Nya (Lihat Sya’n al-Du’a 1/4). Allah Taala menjadikan doa sebagai asbab untuk kita meraih apa sahaja yang diinginkan.

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir, ayat 60)

Adab yang perlu dijaga ketika berdoa

Kita disuruh berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT. Bagi memastikan doa kita dimakbulkan, ada adab yang perlu kita jaga. Apabila kita berdoa, hendaklah kita pastikan diri bersangka baik dengan-Nya.

Berdoalah  dengan penuh harapan dan perasaan takut (daripada doa tertolak) supaya permintaan dimustajab dan dimulakan memuji Allah Taala, dengan membaca surah al-Fatihah.

Nabi Ayyub a.s berdoa kepada Allah SWT untuk memberi kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan. Nabi Yunus a.s berdoa supaya diselamatkan saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya.

Begitu juga dengan Nabi Zakaria a.s yang berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkan dengan mengurniakan Nabi Yahya a.s sebagai anak.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, 3382 dan Abu Ya’la dalam Musnadnya, 6396)

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.