Doa Terhindar Daripada Fitnah

Sahsiah Nor Syariza Tahir 23-Jul-2019

Fitnah dalam bahasa Arab membawa maksud ‘ujian’ atau ‘cubaan’.

Manakala dari segi istilah ulama seperti yang didefinasikan oleh Jurjani, fitnah adalah ‘perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.’

Perbuatan fitnah ini telah pun berlaku semenjak zaman para anbiya’ sehinggalah ke zaman moden pada hari ini dengan pelbagai versi mengikut peredaran masa.

Aisyah R.A sendiri pernah dituduh oleh orang munafik melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan bin Mu’attol R.A.

Keadaan itu berlarutan sehingga sebulan, sehinggalah Allah menurunkan ayat ke-11 Surah An-Nur yang membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik itu.

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

 

Fitnah Itu Bersifat Tidur

Disebabkan itu, menjadi mangsa fitnah adalah perkara yang sangat ditakuti oleh kebanyakan daripada kita, terutamanya fitnah yang boleh menjatuhkan maruah diri seperti yang berlaku kepada Aisyah.

Tambahan lagi, dengan era yang penuh dengan kemodenan ini, setiap fitnah yang dicipta akan merebak dengan pantas sehingga mampu mengakibatkan pelbagai kesan negatif dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, fitnah itu adalah bersifat tidur seperti mana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Fitnah itu bersifat tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.” – H. R Al-Rafi’e dalam al-Amali. (Hadis ini bertaraf dha’if, tetapi makna nas sahih. Inilah pendapat sebahagian ulama’ hadis.)

 

Doa Menghindari Fitnah

Di sini, kami kongsikan antara doa yang boleh diamalkan untuk menghindarkan diri daripada difitnah, seperti yang dikongsikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Instagramnya.

Tegas Zulkifli Mohamad dalam posting Instagramnya lagi, hukum fitnah adalah jelas haram dan ditegah, dan kita hendaklah sentiasa menghindari daripada sebarang bentuk fitnah.

Justeru, beliau menyarankan beberapa langkah yang boleh kita ambil untuk menangani kegiatan fitnah. Antaranya:

  1. Mendalami ilmu agama secara berterusan.
  2. Memotivasikan diri bahawa fitnah adalah suatu pendustaan.
  3. Mengingatkan diri bahawa semua perbuatan akan dicatat dan dihisab oleh Allah S.W.T.
  4. Mendekati para alim ulama dan orang soleh.
  5. Sentiasa mengasihi orang lain.
  6. Melakukan tabayyun.

Seperti mana kita tidak mahu difitnah oleh orang lain, seperti itu jugalah kita perlu menjaga pertuturan, sikap dan perbuatan agar kita tidak tergolong dalam golongan yang mencipta atau menyebar fitnah.

Ini kerana perbuatan membuat fitnah itu amat besar hukumannya seperti mana sabda Rasulullah S.A.W. daripada Abu Hurairah R.A: “Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” – H.R Al-Bukhari.

Foto: Juan Pablo Arenas, Tayeb Mezahdia, Rawpixel.com (Pexels) & Instagram Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.